Suara Damsyik

Jangan Biarkan Sehari Berlalu Tanpa Perjuangan

Archive for the ‘Fikrah’ Category

Born To Be A Reader

Posted by jubahputih02 on November 3, 2009

Berdasarkan laporan kajian tabiat membaca yang dibuat oleh UNESCO pada tahun 2008 menunjukkan bahawa rakyat Malaysia membaca 12 buah buku setahun, berbanding hanya 5 muka surat setahun pada tahun 2004. Satu kajian juga telah dibuat terhadap ahli PPMS di Syria pada tahun 2008 memjelaskan bahawa ahli PPMS secara purata hanya membaca 2 buah buku setahun. Ini membuktikan bahawa amalan ‘membaca’ di kalangan ahli PPMS masih jauh ketinggalan berbanding rakyat di Malaysia sementelah negara-negara maju seperti Jepun. Islam meletakkan ilmu sebagai asas dalam pembangunan diri manusia dan alam seluruhnya. Tuntutan pertama dan utama terhadap manusia ialah saranan menuntut ilmu dan ini telah diperkukuhkan dengan turunnya wahyu pertama yang diterima oleh Rasulullah SAW dalam surah al-‘Alaq ayat 1-5:

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ (1) خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ (2) اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ (3) الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ (4) عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ (5)

Maksudnya : “(Wahai Muhammad bacalah) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian mahkluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku, bacalah dan Tuhanmu yang Maha pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”.

Intisari ayat ini merupakan asas penting untuk mengubah keadaan manusia daripada kegelapan kejahilan kepada cahaya keilmuan. Imam al-Qurtubi turut mengutarakan bahawa permulaan wahyu yang pertama ini adalah perintah Allah yang ditujukan kepada Nabi Muhammad SAW dan umat manusia seluruhnya bahawa membaca, menulis dan mencari ilmu pengetahuan adalah kewajipan yang wajib dilaksanakan.

Ia juga merupakan antara dasar utama yang menjadi misi kita pada kali ini bagi membangunhebatkan setiap individu dikalangan kita. Justeru, penulis yang ‘melihat’ Islam itu di dalamnya tersirat 1001 macam keindahan ajarannya menggesa seluruh anggotanya mencari dan mendapatkan ilmu sama ada secara formal atau tidak formal dengan menjadikan membaca sebagai salah satu cara merealisasikannya.

Membaca merupakan suatu proses untuk memperolehi ilmu dan maklumat dengan menggunakan deria dan minda. Deria dan minda yang dicerna dengan ilmu pengetahuan hasil pembacaan akan menjana kehidupan anggota yang inginkan perubahan, memurnikan fikrah dan pemikiran, meningkatkan kefahaman, memperkaya peribadi dan akhlak, mengasah minda menjadi lebih kritis dan kreatif. Sehubungan itu, penulis kali ini akan melancarkan kempen tahun membaca iaitu kempen 1 bulan 1 buku, 12 bulan 12 buku.

Semua ini bagi menggerakkan dan mengujakan ahli PPMS agar menjadikan ianya sebagai budaya dan terus sebati pada setiap masa dan keadaan yang mana akhirnya kita berjaya mencetuskan satu ‘gelombang membaca’ di bumi Syam ini, InsyaAllah.

Posted in Fikrah | Leave a Comment »

PAS adalah Gerakan Islam ,Bukan semata-mata Parti Politik

Posted by jubahputih02 on October 29, 2009

Parti Islam se Malaysia (PAS) adalah sebuah Gerakan Islam yang melaksanakan aktiviti Amal Islami ke arah mencapai cita-cita perjuangan Islam iaitu meninggikan kalimah Allah swt sehingga ia mengatasi ideologi ciptaan manusia. Penyertaan PAS dalam medan siasah (politik) adalah sebahagian dari tanggungjawab perjuangannya untuk mendaulatkan syariat Allah swt di atas muka bumi ini.

Siasah (politik) PAS adalah siasah Islamiyyah yang kaya dengan adab, akhlak dan prinsip Islami yang dipandu oleh wahyu dan sunnah.  Semua pemimpin dan anggotanya terikat dengan tatacara yang telah dimaktubkan.  Pelanggarannya dianggap satu kesalahan yang tidak wajar dilakukan oleh pemimpin dan anggota PAS.

Tugas dan tanggungjawab PAS jauh lebih besar dari hanya sekadar berpolitik.  Tanpa mengabaikan tanggungjawab politik yang dilunas mengikut prinsip amal Islami, PAS juga mempunyai tanggungjawab besar untuk turun berdakwah dan memimpin fikrah (pemikiran), syakhsiyyah (peribadi) dan ruuhiyyah (spiritual) masyarakat.

Justeru itu, kurangkanlah politiking sesama sendiri yang hanya mengheret kita bersengketa dan membuang masa dalam perkara yang tidak mendatangkan keuntungan kepada perjuangan sebaliknya menjadikan kita retak dan pecah.

Berikan tumpuan kepada usaha pengukuhan gerak kerja dan mempelbagaikan aktiviti ke arah memahamkan masyarakat terhadap Islam yang kita perjuangkan.  Tidak hanya menumpukan isu-isu politik sehingga memperlahankan tempo dalam gerak kerja dan aktiviti Amal Islami yang lain seperti pemantapan Aqidah dan Fikrah.

Jangan biarkan sebarang kemelut melintasi ruang jamaah kita sehingga ia merosakkan penumpuan dan keikhlasan kita terhadap amanah perjuangan.  Keasyikan berpolitik dan keghairahan bersaing di dunia politik kini kelihatan banyak melahirkan pemimpin dan anggota parti yang tidak lagi menumpukan tanggungjawab asas sebagai seorang pejuang Islam.

Telah ramai pemimpin dan anggota jamaah yang telah mengabaikan solat berjamaah, menjauhkan diri dari majlis-majlis ilmu, tidak lagi melazimi usrah.  Ucapannya pula tiada lagi hikmah sebaliknya kasar dan keras.  Tindakannya gelojoh, egonya tinggi dan hanya merasa diri sahaja yang bijak dan pandai.  Gemar bertelingkah dan suka memfitnah.  Melakukan dosa tanpa sedar ianya berdepan murka dan kutukan Allah swt.  Sebagai contoh mudah, apabila jamaah dan anggotanya dilanda badai dan kemelut, tiada lagi usaha untuk bermunajat dan solat hajat agar keadaan tenang dan terkawal.  Sebaliknya berlumba-lumba nak menyalakan lagi isu yang sedia membara.

Saban ketika dan waktu hanya merancang bagaimana nak jatuhkan si anu dan si anu (saingan politiknya) kerana ia tidak sependapat dengan aku (atau mereka memurnikan sedikit alasannya yang berbunyi “demi kebaikan jamaah ….” @ ” demi masa depan jamaah …” dan lainnya sebagai melindungi perkataan sebenar ” demi kebaikan aku …” @ ” demi masa depan politik aku …….”)

Segalanya kerana pengaruh politik tanpa agama dan akhlak.  Hitungan seharian dalam dunia politik ialah bagaimana nak menang!  Bagaimana nak dapatkan undi Melayu dan Non-Malay!  Tetapi malang, sebahagiannya tidak memasukkan dalam hitungan mereka, bagaimana nak pertahankan Islam dan memenangkan Islam!  Malah ada yang berani mengatakan jangan bercakap Islam kerana nanti kita kurang popular dan non-muslim akan menjauhi kita.

Sebagai anggota Gerakan Islam, kita tidak seharusnya prejudis terhadap Islam.  Perjuangkan Islam nescaya Islam akan menambat hati nurani semua ummat, justeru Islam adalah agama wahyu untuk seluruh manusia.  Keadilan Islam dan akhlaknya akan meruntun hati manusia walau pada mulanya mereka membenci Islam.  Pentingnya kita mesti tegas bersama Islam.

Jangan hanya kita berbangga dengan ilmu dan akhlak pemimpin kita seperti Tuan Guru Hj. Abdul Hadi dan Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz sedang kita tidak berusaha untuk jadi seperti mereka atau lebih baik dari mereka.  Bangga meriwayatkan kesederhanaan dua tokoh pemimpin kita tetapi kita hidup tenggelam dalam kemewahan yang keterlaluan.  Bangga dengan tawadhu’ dan wara’nya mereka tetapi kita gopoh, liar dan tidak cermat.  Bangga dengan karisma dan wibawa mereka sementara kita sering culas dan nakal.

Binalah jamaah ini sebagaimana kedua Tok Guru kita membinanya.  Pagarilah jamaah ini sebagaimana kedua Tok Guru kita memagarinya.  Kalau kita tidak mampu menjadi seperti mereka berdua, ambillah contoh dan ikutlah qudwah mereka bukan menjatuh dan melemahkan mereka serta melaga-lagakan mereka.  Kerana itu perbuatan insan yang nakal lagi liar.

Berjuang biarlah dapat pahala, jangan berjuang untuk menambah dosa.  Berjuang biarlah ramai sahabat, jangan berjuang meramaikan musuh.  Berjuang biarlah tenang, jangan berjuang menambah serabut.  Berjuang biarlah damai, jangan berjuang untuk bergaduh.  Berjuang lah jangan tidak berjuang ….

Kita berjamaah untuk Islam bahkan kita menyertai PAS adalah untuk mendaulatkan Islam.  Bukan membina empayar individu jauh sekali memburu kekayaan material.  Lantaran itu, tidak sukar untuk kita memahami apa yang saya bangkitkan di sini.  Jangan tukar PAS sebagai Gerakan Islam kepada PAS hanya sebuah Parti Politik.

*Kenyataan media oleh Nasrudin Hassan Tantawi selaku Ketua Dewan Pemuda Pusat PAS.

Posted in Fikrah | Leave a Comment »

Ustaz Memang Begitu….

Posted by jubahputih02 on July 8, 2009

Oleh : Dimasyqi.com

Kita tahu siapa doktor, siapa jurutera, siapa guru, siapa peguam. Tapi siapakah ustaz? Ustaz (bagi akhawat dibaca dengan ustazah) terutama dalam masyarakat melayu tidak didefinisikan dengan jelas. Sepertimana jelasnya ahli mantiq mendefinisikan manusia yang jami’ dan mani’ sifatnya. Sekiranya disoal siapa ustaz, jawapannya masih kabur. Tidak seperti profesion yang lain. Seseorang tidak akan diiktiraf sebagai doktor melainkan tamat menjalani “housemanship’. Seseorang tidak boleh menggelarkan diri sebagai peguam melainkan dia tamat tempoh “chambering”. Seorang akauntan hanya layak disebut akauntan setelah memperolehi AACA. Tetapi tidak kepada seorang ustaz. Sesiapa sahaja dengan mudah boleh diberi gelaran itu. 

 

Bagi jumhur makcik, pakcik, maklong dan paklong di kampung, mereka mempunyai pengertian sendiri. . Ustaz di sisi mereka, sesiapa sahaja yang bermusafir dengan tujuan belajar agama ke Timur Tengah. Asalkan pernah berada di Timur Tengah untuk belajar agama maka mereka layak memegang title ustaz setelah pulang. Ditambah dengan set kopiah, serban dan jubah yang dipakai, beberapa potong ayat quran dan hadith yang dihafal, satu dua fakta sirah yang dibaca, gelaran ustaz akan lebih kuat melekat pada diri ustaz. Pendek kata sesiapa sahaja yang pernah dalam hayatnya belajar agama dengan mudah akan menerima gelaran ini.

 

Ringkasnya, pemahaman yang ada dalam benak kebanyakkan masyarakat seolah-olahnya  tidak membezakan antara ustaz yang banyak bertalaqqi di jami dengan ustaz yang banyak bertalaqqi di internet, ustaz yang banyak mengumpul koleksi kitab dengan ustaz yang banyak mengumpul koleksi filem, ustaz yang banyak menziarahi masyaikh dengan ustaz yang banyak menziarahi shopping complex, ustaz yang harinya bermula seawal 5 pagi dengan ustaz yang harinya bermula selewat 12 tengahari, ustaz yang letih tidak cukup tidur menelaah dengan ustaz yang letih sebab tidur tidak menelaah, ustaz yang berbuih mengajar adik-adik dengan ustaz yang berbuih bersembang kosong, ustaz yang bersengkang mata bertahajjud dengan ustaz yang bersengkang mata berchatting, ustaz yang penuh didada dengan matan dan syair dengan ustaz yang penuh didada dengan matan lagu dan nasyid, ustaz yang banyak menulis dengan ustaz yang malas membaca apa yang telah ditulis. Ustaz yang bekerut dahi merisaukan masalah ummat dan ustaz yang berkerut dahi kecewa perpindahan Robinho ke Manchester City. Ustaz yang sedar dirinya banyak kekurangan dengan ustaz yang tidak merasai apa-apa kekurangan. Anda teruskan sendiri senarainya. Yang penting, kesemuanya  akan akan dibakulkan dalam dalam satu bakul yang sama setelah pulang ke Malaysia, iaitu bakul ustaz. Semuanya akan dipanggil ustaz.

 

Ustaz-ustaz inilah nantinya akan diminta mengisi kekosongan kuliah di surau dan masjid, ceramah agama sempena Isra’ Mikraj, Maal Hijrah dan Maulid. Ustaz ini nantinya diminta untuk mengisi khemah ibadah. Ustaz inilah nantinya akan ditanya masalah faraid, zakat, puasa dan solat. Ustaz inilah nanti diminta berkhutbah Jumaat, Aidilfitri dan Aidiladha.

 

Maka ustaz ini jugalah yang nantinya akan berdolak dalik seribu alasan. “Bagi pada orang lain dulu”, “Bidang saya lughah, saya tak boleh jawab tentang fekah”, “Saya tak bersedia lagi,  baru semalam balik dari Syria”, ”Saya tak pandai nak berceramah” dan beraneka alasan yang lain. Setelah bertahun di Timur Tengah, agaknya boleh ke makcik dan pakcik di kampung menerima semua alasan ini.

 

Tidak kurang juga yang mengagahkan diri menerima cabaran dek kerana tercabar membawa title ustaz. Akhirnya keluarlah fatwa-fatwa pelik lagi ajaib yang layak dimasukkan ke dalam “World Books Of Record”.    

 

Maka jangan cepat melatah jika hari ini masyarakat mula meragui pada sesetengah insan yang bernama ustaz. Krisis keyakinan pada golongan agamawan berakar pada 1001 perkara pelik dan ajaib yang terbit dari kalam dan perbuatan ustaz. Bermula dari soal sikap, cara berfikir, cara bertindak dan sebagainya.

 

Masyarakat yang berfikir dan cermat memerhati menyimpulkan, ustaz hari ini hanya pada nama bukan ruh, hanya pada kata-kata bukan amalan, hanya pada idea bukan perlaksanaan, hanya pada kulit bukan pada isinya. Ustaz tidak mampu memimpin dan membimbing masyarakat. Ustaz hanya pandai bercakap (dibaca dengan menggoreng). Dakwah ustaz tidak berhikmah. Ustaz tidak progresif dan dinamik. Pendekatan ustaz tidak approachable. Ustaz tidak up to date. Ustaz tidak itu dan ini.

 

Anda mungkin marah dan saya juga marah apabila institusi ustaz diperlekeh sedemikian rupa. Tetapi cuba kita becermin sejenak. Marah semata tidak akan merubah wajah ustaz. Kita perlukan revolusi dan revolusi perlukan PENGORBANAN.

 

Jika tidak, kita bersetuju dengan mereka yang mengatakan “Ustaz memang begitu”

 

 

Dimasyqi.com

9 Disember 2008

Mujtahid, Dimasyq.

 

Posted in Fikrah | Leave a Comment »

Perubahan Dan Pengorbanan ; Agenda Bersama

Posted by jubahputih02 on July 8, 2009

Manusia yang hidup di dunia ini mempunyai berbagai tanggungjawab. Namun di sana tujuan sebenar manusia dihidupkan di muka bumi ini adalah untuk menjadi hamba Allah yang taat serta patuh kepada perintahnya dan meninggalkan larangan-Nya. Jika menyebut mengenai perubahan dan pengorbanan kedua-duanya terpundak di atas bahu kita. Kita perlu sedar bahawa perubahan perlu dilakukan. Daripada keadaan yang tidak baik kepada yang lebih baik. Perubahan yang dimaksudkan di sini ialah dari zulumat kepada kebenaran yang hakiki.

 

Perubahan yang dibawa oleh Islam dari utusan Allah junjungan mulia qudwah terulung umat Islam nabi Muhammad s.a.w menyeru agar umatnya kembali kepada Allah. Kita semua dituntut agar segera sedar akan tanggungjawab masing-masing di dunia ini. Antara tanggungjawab kita ialah melakukan perubahan. Perubahan yang perlu difokuskan kepada diri, keluarga, bangsa, agama dan negara. Perubahan tidak akan berlaku jika diri kita masih berada di dalam zulumat. Bagi merealisasikan sesuatu perubahan, di sana pastinya ada pengorbanan. Inilah tema utama yang mahu kita ungkapkan iaitu “Perubahan Dan Pengorbanan Agenda Bersama”.

 

Dalam konteks kita selaku siswa dan siswi Islam tuntutan ini amat jelas menunjukkan bahawa kita yang patut melakukannya. Kerana kita adalah harapan Islam. Kita jangan mudah merasa cukup dengan perubahan dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh orang lain. Tetapi kita perlu sentiasa merasakan bahawa kita semua punya tanggungjawab yang sama. Mahupun muslimin atau muslimat kedua-duanya tidak berbeza dari sudut perikemanusiaan kerana asal usul kejadian meraka adalah satu. Seperti mana firman Allah subhanahuwata’ala yang bermaksud:

 

“Hai manusia! Bertaqwalah kepada tuhan kamu yang telah menciptakan kamu (bermula) dari (adam) dan yang menciptakan daripada(adam) itu pasangannya(isterinya hawa) dan yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan, lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya,dan peliharalah hubungan silaturrahim (kaum kerabat) kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu.”        (An-Nisa’ :1)

 

Senario manusia akhir zaman sepatutnya tidak menyebabkan kita terheret sama ke kancah yang hina. Namun, kita perlu melakukan perubahan di atas permasalahan umat. Tuntutan agama dari penuntut ilmu juga bukan semata-mata menjaga diri dan keluarganya sahaja malahan perlu kembali melakukan perubahan kepada masyarakat. Seruan ini amat jelas sepertimana firman Allah yang bermaksud:

 

“Dan tidaklah orang-orang yang beriman keluar semuanya(pergi berperang)oleh itu hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang(yang tinggal)itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya(yang keluar berjuang)apabila orang-orang itu kembali kepada mereka, mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga(dari melakukan larangan Allah).  (At-Taubah: 122)

 

Ayat tersebut jelas menunjukkan matlamat kita menuntut ilmu dengan memahami ad-Din seterusnya kembali sebagai pemberi peringatan kepada masyarakat. Kita membawa seruan ad-Din kepada  manusia di seantero dunia bahawa Islam adalah penyelesai kepada segala masalah. Di zaman mutakhir ini umat Islam perlu menempuhi pelbagai ideologi yang dicipta oleh musuhnya bagi meracuni minda dan pemikiran. Sejarah perubahan dan perjuangan di seluruh dunia asalnya dilakukan oleh para ulama namun ianya telah dirampas oleh pemimpin sekular dan Islam diketepikan. Kita perlu mengambil pengajaran dari sejarah yg telah berlaku. Sedarlah bahawa kita tidak boleh melengah-lengahkan perubahan yang perlu dibawa kepada masyarakat. Masyarakat di Malaysia terutamanya yang semakin terpesong dari landasan sebenar. Segala kerosakan serta ideologi-ideologi musuh telah masuk ke segenap lapisan masyarakat sekarang dengan mudah.

 

Pengorbanan yang dituntut daripada kita dengan mengorbankan jiwa-raga, harta-benda, masa, kehidupan dan segala sesuatu untuk tujuan mencapai matlamat. Di sana kita boleh melihat siapakah yang benar-benar ikhlas hidup selaku hamba Allah. Kerana hamba Allah tidak akan lari dari tanggungjawab. Perubahan kepada masyarakat bukan sahaja terpundak di bahu muslimin sahaja malahan muslimat. Muslimat juga perlu sedar akan keberadaannya di dalam masyarakat. Bukan sekadar penjaga kepada keluarganya sahaja. Tetapi mereka juga merupakan ejen kepada perubahan masyarakat. Inilah produk yang ingin kita lahirkan daripada siswa dan siswi Islam. Produk yang mempunyai kualiti serta berkredebiliti bagi menyelesaikan segala permasalahan dan mengubah mentaliti masyarakat. Suasana krisis akidah umat Islam di Malaysia sekarang telah diibaratkan “seperti telur di hujung tanduk” merupakan berita yang amat menyedihkan.

 

Keterlibatan muslimat dalam masyarakat dengan suasana yang berlaku sekarang merupakan suatu kewajipan. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

 

“Dan orang-orang lelaki mukminin dan oramg-orang perempuan mukminat sebahagian mereka adalah penolong bagi sebahagian yang lain, mereka menyuruh melakukan yang makruf dan melarang dari melakukan yang munkar..”              (At-Taubah: 71)

 

Di antara kerja amar makruf dan nahi munkar yang dilakukan oleh muslimat di zaman sahabat ialah dalam bentuk suatu teguran oleh seorang muslimat kepada amirul mukminin Umar Bin Al Khattab ketika sedang berucap untuk mengadakan sekatan terhadap kenaikan maskahwin. Muslimat tersebut dengan ikhlas dan jujurnya memberitahu saidina Umar : “Patutkah engkau berbuat demikian sedangkan Alllah s.w.t mengizinkan para wanita menaikkan maskahwin walaupun dengan kadar satu pikul emas?” Mendengar kata-kata itu, Saidina Umar terus mengakui kesilapan beliau dan merujuk kembali kepada keadaan yang asal dengan tidak mengadakan sekatan terhadap naik turunnya maskahwin.

 

Pengajaran dari kisah tersebut menunjukkan betapa peri pentingnya keterlibatan muslimat dalam permasalahan masyarakat. Bukan sekadar hebat di gelanggang sendiri tetapi mampu beraksi di tempat lain. Perubahan yang perlu dilakukan ini langsung tidak menjurus kepada pemilikan hak feminisme sama sekali. Tetapi perubahan ini adalah perubahan untuk melihat masyarakat kembali kepada Islam. Bagi menentang musuh umat Islam kaum kuffar laknatullah. Jika di Malaysia ada pelbagai pakatan kaum kuffar antaranya golongan yang menyatakan bahawa mereka penyelamat masyarakat Islam tetapi ianya dusta belaka.

 

Seperti yang kita ketahui sister in Islam (SIS) mereka hanya menggunakan nama Islam sebagai topeng. Sedangkan missionari kuffar  adalah di sebalik gerakan ini. Mereka lantang membicarakan soal agama dengan mempertikaikan fatwa ulama’ serta menghina Islam. Siswi Islam dan muslimatlah yang dituntut bagi menentang golongan ini serta menjawab kembali segala permasalahan yang berlaku. Ini semua tidak akan dapat dilaksanakan melainkan kita perlu keluar dari zon masing-masing ke medan sebenar. Dengan penyatuan fikrah yang mantap serta berjemaah akan dapat menewaskan mereka.

 

Di dalam al-qur’an juga terdapat banyak ayat-ayat yang menyeru kepada muslimin dan muslimat serta mukminin dan mukminat supaya melakukan perubahan dan berkorban demi ad-Din tercinta. Tiada keterbatasan kepada satu-satu bidang sahaja sedangkan seruan jihad itu begitu luas. Samada dalam bidang pendidikan, dakwah dan politik tidak dapat dipisahkan. Jika keterlibatan muslimat di bidang siasah di bawah kerajaan Islam yang adil juga diperlukan inikan jika di dalam kerajaan Islam yang menyeleweng. Sabda Rasulullahi sallalallahu alaihi wasallam yang bermaksud:

 

“Sebaik-baik jihad itu ialah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim.” (Riwayat Abu Daud & Ibnu Majah)

 

Di dalam hadith yang lain pula nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

 

“ Sesungguhnya manusia itu jika melihat kezaliman yang dilakukan oleh orang yang zalim tapi mereka tidak membetulkan kezalimannya, nyaris-nyaris Allah akan menurunkan azabNya kepada seluruh mereka.” (Riwayat Abu Daud, at-Tarmizi & an Nasa’i) 

 

Perubahan segera perlu dilakukan dengan pengorbanan yang ikhlas merupakan agenda bersama bagi menegakkan kalimatul haq di muka bumi ini. Semuanya perlu kembali kepada syarak kerana didatangkan syarak bagi menyelesaikan maslahah hamba di segenap kehidupan dan tempat kembali. Perlu diingatkan bahawa dengan mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup tentang agama Islam sahaja dapat merealisasikan tuntutan tersebut.  Oleh kerana itu mahasiswa masa kini, khususnya muslimat dalam menjalankan peranan selaku agen perubah masyarakat wajiblah mereka membentuk peribadi mereka seperti yang dikendaki Islam. Yakinlah kepada Allah dan memberi sepenuh penyerahan dari usaha serta pengorbanan yang dilakukan dengan mengharapkan redhaNYA.

 

Posted in Fikrah | Leave a Comment »

Pesanan Abdullah Nasih Ulwan Kepada Belia-Belia Dakwah Dan Pejuang-Pejuang Islam

Posted by jubahputih02 on July 8, 2009

Anda semua kini merupakan harapan kepada kebangkitan Islam dalam membina kembali keangungan Islam, pemerintahan Islam dan penyatuan Islam. Kalianlah di zaman ini menjadi harapan muslimin sebagai pejuang yang rela mengembalikan khilafah rasyidah di muka bumi ini, menjadi harapan untuk mengembalikan kemuliaan dan keagungan Islam yang telah hilang kepada alam ini. Kalianlah orang-orang yang ditunggu-tunggu di segenap tempat sebagi pejuang-pejuang pembebasan, sebagai para daei pendukung kebenaran dan sebagai pembawa obor hidayah….

Justeru itu tunjukkanlah bukti-buktinya wahai belia dalam segenap bidang. Berilah contoh ikutan dengan penglibatan kamu terhadap prinsip-prinsip ukhuwah Islamiah. Tunjukkanlah contoh bagaimana kamu menyelami roh dan pengertian ukhuwah islamiah. Tunjukkanlah contoh bagaimana kamu melaksanakan tugas-tugasnya. Tunjukkanlah contoh yang boleh kamu jadikan bandingan baik dengan sikap dan perilaku kamu terhadap ukhuwah Islamiah. Tunjukkanlah contoh bagaimana kesan dari ukhuwah boleh berpanjangan  dan bagaimana buahnya boleh dihasilkan. Sesungguhnya tidak ada jalan yang lebih besar kesannya kepada sama ada peribadi atau ummah selain dari uswah.

Sejarah telah menjelaskan wahai para belia dengan bangga dan megahnya bahawa Islam telah sampai hingga ke selatan India, ke Sri Lanka. ke Pulauan Laccadive dan Maldive di tengah-tengah Samudra Hindi, sampai ke Tebet, ke Persisiran Benua China, ke Philipina ke gugusan kepulauan Indonesia dan Semenanjung Tanah Melayu…di sebelah baratnya sampai ke tengah-tengah benua Afrika, iaitu Senegal, Nigeria, Somalia, Tanzania. Madagaskar, Zanzibar dan banyak lagi yang tidak sempat disebut. Sampainya serta bertapaknya Islam pada bangsa-bangsa tersebut itu adalah dengan qudwah atau contoh yang menjadi ikutan, contoh-contoh yang dibawa oleh pedagang-pedagang dalam sikap dan perilaku mereka. Mereka yang merupakan para daei yang menunjukkan contoh dalam semua gerakgeri mereka, malah merekalah muslimin yang menunjukkan contoh dalam semua gerakgeri mereka. Malah mereka muslimin yang menunjukkan contoh pada persaudaraan mereka yang tulen, pada perilaku dan budi pekerti mereka. Kemudian barulah disusuli dengan kalimah tayyibah dan mau’eizah hasanah serta dakwah yang berhikmah…barulah manusia-manusia dari bangsa-bangsa tersebut masuk berduyun-duyun , berbondong-bondong ke dalam agama Allah ini dan mereka beriman dengan rela hati dan penuh keyakinan.

Kalaulah para pedagang tersebut tidak menunjukkan sikap baik mereka, para daei tersebut tidak membuktikan ukhuwah sejati mereka, dan angkatan muslimin tersebut tidak bersikap dengan akhlak dan perangai mulia mereka, maka tentulah berjuta-juta manusia tidak menganut Islam, mereka tidak masuk ke dalam keadilan dan belas kasihan Islam .

Para pejuang dakwah Islamiah, dari para daeinya , malah dari setiap orang yang ada hubungannya dengan dakwah Islamiah , begitu mudah sekali didapati belia-belia yang mukmin yang berukhuwah , yang memiliki kesedaran dan bersatu , yang menghayati prinsip-prinsip Islam dalam cara hidup, yang menghidupkan fikrah atau pemikiran Islam dalam setiap individu, malah gerak dan diam mereka menjelaskan keutamaan pada dakwah Islamiah. Dan apabila harakah Islamiah di zaman moden ini mengemukakan beberapa contoh melalui peribadi-peribadi yang boleh diikuti dan ditauladani perilaku dan akhlak mereka, juga melalui para daei yang berbeza, dari orang lain kerana sifat ukhuwah dan taqwa mereka, juga melalui beribu-ribu belia yang dapat mempengaruhi menusia dengan bahasa , sikap dan perilaku yang mereka tunjukkan lebih dulu daripada bahasa lisan dan tutur kata…dengan yang demikian itulah gerakan Islam telah berjaya mendapat hasil dalam medan perjuangan dakwah kepada Allah, berjaya menawan beribu-ribu kelompok manusia dan dibawanya mereka beriman dan percaya bahawa Allah sahaja sebagai tuhan, Islam sebagai agama, Al Quran sebagai imam dan nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam sebagai nabi dan rasul…malah harakah Islamiah telah mendapat hasil dari tanamannnya yang berupa penyebaran Islam itu banyak buah-buah yang enak lazat untuk dimakan.

 

DENGAN APA NABI MUHAMMAD SAW MENAWAN DUNIA???

 

Muhammad saw telah berjaya seperti yang dikatakan oleh Al syahid Sayyid Qutb bahawa baginda mendidik dan membentuk para sahabatnya radiyallahu anhum menjadi rupa iman yang benar-benar hidup, yang memakan makanan , yang berjalan–jalan di pasar, malah para sahabat-sahabat tersebut merupakan al quran yang melata dan merayap di bumi, malah mereka dididik dan dibentuk oleh baginda menjadi contoh atau model yang lengkap untuk Islam, bila melihat mereka bererti sudah melihat Islam!!

Adapun Nas, tidak ada faedahnya kalau ia dibiarkan bersendirian , tidak dilakukan sesuatu, juga Al quran itu sendiri kalau dibiarkan tidak dibentuk hingga terbentuk seorang lelaki, dan segala prinsip Islam kalau hanya tinggal prinsip, ia tidak berfaedah malah tidak bernyawa kalau ia tidak dijadikan panduan atau cara hidup.

Di situlah Muhammad saw menjadikan matlamat pertamanya iaitu membentuk para pahlawan Islam sebenarnya, bukan hanya sekadar memberi ceramah dan pelajaran, baginda mengukir Islam di jiwa bukan hanya memperdengarkan seni khutbah atau pidato, baginda membina ummah bukan sekadar menegakkan falsafah . adapun fikrah Islamiah itu sendiri Al quran yang bertanggungjawab melindunginya. Maka tugas Muhammad saw ialah semata-mata mengubah fikrah Islam menjadi bentuk para lelaki yang boleh disentuh dengan tangan dan boleh dilihat dengan mata kasar!!

Muhammad saw telah mendapat kemenangan dengan membentuk fikrah Islamiah menjadi peribadi-peribadi dengan mengubah kepercayaan mereka terhadap Islam kepada amalan-amalan yang dipraktikkan, dengan mencetak puluhan buah mashaf (Al Quran), kemudian berikutnya mencetak ratusan malah ribuan Al Quran, Al Quran itu bukan dicetak dengan tinta ke atas kertas, tetapi dicetak dengan nur di atas lembaran-lembaran hati sanubari, kemudian Al Quran itu dilepaskan bergerak, bergaul dengan manusia, ia sendiri bersifat manusia, mengambil dan memberi, ia bertutur dengan bahasa, sikap dan tingkah laku dalam menyatakan Islam yang dibawa oleh Muhammad saw dari pihak Allah.

Tetapi sebaliknya, betapa songsangnya harakah Islamiah hingga menanggung derita. Jelas kelihatan kecewanya harakah Islamiah disebabkan oleh anggota-anggota serta para daeinya melahirkan sifat-sifat ego, dengki dan cemburu. Betapa lembabnya perkembangan dakwah Islamiah dalam mesyarakat Islam sendiri, lebih-lebih lagi dalam bangsa-bangsa yang bukan Islam sama ada di dunia Barat maupun di Timur….disebabkan oleh gerakan Islam yang ada hanya berkisar di sekitar ruang yang sungguh sempit, di samping berpenyakit dengan penyakit dengki, iri hati dan permusuhan!!!!

Justeru itu, suasana dan kedudukan harakah atau jamaah yang saling bermusuhan dan bercakaran itu tetap goyang dan lemah, seperti yang dibayangkan oleh syair arab ini :

“Tiada bantahan dari saya juga anda,

Kecuali percakaran dan pecah belah dalam kumpulan,

Anda lihat mereka punya cita-cita, menjalankan usaha,

Tetapi tidak pernah sejalan walau dua kumpulan di samping anda,

Anehnya setiap jamaah di kalangan kita ada panduannya,

Tetapi sebenarnya semuanya tidak berpanduan.”

 

Pada perhitungan saya dan perhitungan kebanyakan para daei yang matlamatnya untuk membentuk fikrah Islamiah, juga para pejuang untuk pemulihan, kalaulah anggota-anggota harakah atau anggota-anggota jamaah tersebut berjalan dengan berpandukan manhaj Islam dalam mendidik para daei, dalam menyediakan dan melengkapkan peribadi-peribadi muslim, malah dalam membentuk ummah, kalaulah mereka bergerak mengikut prinsip-prinsip syariah dalam menunaikan hak-hak ukhuwah, menyelami roh ukhuwah sedalam-dalamnya, melaksanakan segala kewajibannya dan patuh kepada etika ukhuwah, sudah pasti sejak awal dulu lagi mereka telah mendapat kemenangan ke atas musuh sebenarnya.

Sudah pasti mereka dapat memusnahkan perdurhakaan terhadap Allah, mereka dapat membasmikan kezaliman dan ilhad…sudah pasti mereka dapat menegakkan Daulah Islamiah di negara-negara kepunyaan orang-orang Islam…sudah pasti mereka dapat menyebarkan agama Allah di segenap pelusuk bumi, malah di mana-mana sahaja di dunia ini….! Adalah silap wahai belia-belia Islam kalau anda beranggapan bahawa abad-abad permulaan Islam dulu sama ada di zaman para sahabat atau generasi-generasi yang menyusuli para sahabat dapat menegakkan keagungan dan kecemerlangan Islam yang luas melebar itu…mereka dapat membina kekuatan dan kehebatan Islam yang begitu terkenal, mereka Berjaya mengasaskan pemerintahan Al Quran yang begitu besar, tanpa ukhuwah yang tulen, tanpa kasih sayang yang sebenarnya , tanpa pertalian dan tambatan hati yang jinak dan mesra.

Adalah salah jika anda menyangka bahawa Islam ini tersebar di timur dan di barat, di kawasan-kawasan bumi yang ramai penduduknya, tanpa ikatan hubungan yang kukuh, tanpa pegangan kepada tali Allah yang kuat. Adalah salah jika anda menyangka bahawa ratusan juta manusia masuk ke dalam Islam dengan pilihan dan kerelaan mereka begitu sahaja, tanpa ikutan dan teladan yang dibawa dan ditunjukkan oleh para daei, tanpa contoh dari mukminin yang mereka kenali.

Tidak betul jika anda menyangka bahawa tapak pembinaan yang di atasnya didirikan Daulah Islamiah, kemudian dari situlah tersebarnya risalah dan mesej Muhammad saw itu tidak pernah ada persaudaraaan, tidak pernah ada saling sayang  menyayangi antara satu sama lain.

Adakah anda telah baca dalam sejarah wahai belia-belia Islam bahawa pemimpin dan Pembina keagungan Islam Muhammad saw tidak mengasaskan pemerintahan Islam yang pertama di madinah melainkan setelah mempersaudarakan muhajirin dengan Ansar, menjinak dan merapatkan kembali antara suku kaum Aus dan Khazraj….supaya semua muslimin menuju ke arah satu haluan, bersatu di bawah panji-panji ” dan berpegang-teguhlah kamu dengan tali Allah, dan janganlah kamu berpecah-belah” di bawahslogan ” Sesungguhnya ini umat kamu, umat yang satu, dan akulah tuhan kamu, maka bertaqwalah kamu kepada-Nya”

 

PESANAN AKHIR KEPADA BELIA-BELIA ISLAM.

Wahai saudara-saudara para belia, perkukuhkanlah ukhuwah dan penghayatan kamu, berukhuwahlah kamu dengan semangat kerana Allah, ubatilah jiwa dan diri kamu dengan ikhlas dan bertaubatlah, bezakan diri kamu dari manusia-manusia lain dengan akhlak dan tingkah laku yang baik, tunaikanlah hak-hak ukhuwah  kepada saudara-saudara kamu dan kepada orang-orang yang berlindung dengan kamu, berjalanlah di atas manhaj dan landasan Islam dalam mengukuhkan kasih sayang kamu, dan berpandulah dengan pimpinan Al Quran dalam menjalani kasih sayang kamu.

 

 

Posted in Fikrah | Leave a Comment »

Pelajar Nakal Aktif PAS, Yang Baik Tak Tahu Ke Mana

Posted by jubahputih02 on July 7, 2009

Pada 8/Ogos/2008 saya dijemput ceramah Isra’ Mikraj di Surau AL-Irsyad Apt Vista Pinggiran Putra dekat pasar Borong Selangor. Program lepas maghrib sepatutnya, tangguh lepas Isyak. Jalan jam maklumlah daripada Kuala Lumpur hari jumaat pula. Lepas itu saya pula sesat jalan. Sembahyang maghrib di RR Air Hitam dekat tol LDP (Lebuh Raya Puchong).

Yang menariknya pada malam itu saya berjumpa bekas pelajar saya di UITM Melaka dahulu. Lepas ceramah dia bagi tau dekat saya, suara ustaz tak ubah macam dulu. Kebetulan ceramah Isra’ Mukraj maka sudah tentu yang disentuh berkenaan dnegan kewajipan solat dan realiti yang berlaku pada hari ini, ramai yang tidak solat. Dia beritahu saya apabila ustaz cerita bab solat ini teringat sewaktu berada di ITM dulu, ustaz selalu bertanya siapa yang tidak solat subuh. Saya adalah salah seroang yang liat solat, sekarang ini tidaklah ustaz.

Memang saya terkenal di kalangan pelajar sebagai pensyarah yang tegas. Kalau ada di kalangan pelajar yang sedang berdua-duan, apabila nampak kereta saya pakat lari lintang pukang. Di dalam kelas semua pelajar perempuan wajib bertudung, kena tutup sampai dada. Saya kata saya hanya berkuasa di dalam kelas ini sahaja. Sekurang-kurangnya 2 jam kamu tidak derhaka dengan tuhan dalam seminggu. Rupa-rupanya ada kesan, selepas dipaksa akhirnya mereka pakai dengan sukarela.

Saya masih ingat dia, biasalah di sekolah pelajar yang terkenal ialah yang baik atau yang nakal. Yang sederhana guru tidak ingat. Yang menariknya belaiu sekarang orang kuat Pas dan menjadi tenaga penggerak penting di cawangan tersebut dalam kawasan Puchong. Saya bertanya beberapa orang yang semasa dengan beliau di ITM dulu, yang terkenal budak baik, maka dia sebuat mereka join Umno dan ada yang tidak peduli perjuangan.

Tetapi inilah realiti yang berlaku dalam alam pelajar. Sebenarnya saya apabila pergi tamrin pelajar di pusat pengajian tinggi, saya kata saya datang ini hanya melepas kewajipan saya sebagai pimpinan jamaah sahaja. Saya bukan percaya sangat dengan kamu. Besok apabila sudah keluar apabila kerja, kahwin, dapat anak dan aktif dengan Pas, baru jumpa saya. Ini baru boleh bagi sijil, kalau tidak saya tidak percaya.

Saya teringat sewaktu menjadi pelajar dahulu Saudara Mohd Sabu yang sering berucap dalam tamrin pelajar. Dia kata dekat kami, saya hanya percaya 20% sahaja di kalangan kamu ini. Waktu itu dalam hati saya tercabar.

Gamak pimpinan Pas kata kami hanya boleh diharap 20% sahaja. Sedangkan kami begitu bersemangat, berani bergaduh dengan puak Umno kampus. Sanggup bertumbuk, dibuang asrama, kena tindakan disiplin. Rupa-rupanya betul, bukan 20% malahan 5% pun tidak saampai yang terlibat dengan Pas.

Saya kata, harap itu tidaklah sangat. Banyak abang dan kakak kamu dulu tipu kami, kerana lepas keluar takut hendak berjumpa dengan kami. Taku saya tanya cawangan mana yang awak aktif. Banyak bekas pimpinan jamaah duduk dekat dengan rumah saya, jumpa cabut lari. Hendak kata tidak faham tarbiah tak betul kerana regunya naqib dengan naqibah, akhirnya kedua-dua rebah dalam perjuangan.

Saya juga pernah di beritahu oleh pemandu YB Doktor Hamdan Mohd Khalid Exco Kerajaan kedah, namanya Nasron.

Beliau ini bekas sekolah agama. Dia kata payahlah ustaz , hendak cari ustaz untuk bimbing kami.

Saya kata fasal apa?. Kawasan anta ini tidak ada orang mengaji agama ka.

Ada jawab dia. Tapi tidak mahu berjuang duduk peluk tubuh dan pemerhati komonwel kot jauh sahaja. Akhirnya hak yang hendak berjuang ini macam kami yang mengaji tidak tinggi, hak pandai tidak mahu berjuang.

Saya Tanya dia fasal apa jadi begitu.

Dia kata depa pandai kerana rajin mengaji tidak sempat hendak ambil tahu bab perjuangan, kami yang kurang dan nakal-nakal sikit ini rajin pergi dengar ceramah dan ikut kuliah Pas itu yang mengaji tidak berapa pandai.

Saya senyap sahaja apabila dengar penjelasan daripada beliau. Ada lojik juga. Pasal hak cerdik kalau tidak ada roh jihad dalam diri, dia takut macam tidak ada tuhan dalam hidup dia.

Dia tidak percaya rezki tangan tuhan, walaupun dia mengaji Usuluddin.

Apabila saya renung perbualan saudara Nasron tadi ada kebenaran juga. Macamlah bekas anak murid saya tadi.

Walau bagaimanapun saya bangga kerana beliau bekas anak murid saya yang aktif dalam Pas walaupun dulu nakal, tetapi sedikit kecewa anak murid dan aktivis yang hebat suatu ketika dahulu tenggealam dengan dunia yang fana’ ini

Posted in Fikrah | 2 Comments »