Suara Damsyik

Jangan Biarkan Sehari Berlalu Tanpa Perjuangan

Archive for the ‘Ilmiah’ Category

Hak Umat Islam Untuk Menubuhkan Parti Politik (Bhg 2)

Posted by jubahputih02 on July 8, 2009

1-Saya telah ditanya berkenaan penggunaan masjid untuk tujuan politik, beberapa tahun yang lalu. Antara jawapan yang saya berikan ialah: Penggunaan masjid untuk tujuan politik tidak boleh dihalang secara mutlak mahupun dibenarkan secara mutlak.  Perkara yang perlu dihalang ialah apabila masjid digunakan untuk memfitnah atau menyerang dengan menyebut nama-nama individu atau perkara tertentu. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku di atas mimbar dan tidak boleh dijadikan sebagai tempat untuk menjatuhkan maruah atau taksub kepada parti tertentu. Tetapi sebaliknya masjid perlu berfungsi untuk menghalang sesuatu yang bercanggah dengan syariat, walaupun ianya menjadi amalan kepada sebuah kepada sebuah kerajaan. Ini kerana masjid didirikan untuk tujuan memperkukuhkan syariah Allah, dan bukannya untuk mendokong kerja buat parti pemerintah.Tidak boleh sekali-kali menghalang masjid dari melaksanakan fungsinya yang asal: iaitu menyedarkan Ummah serta memberikan peringatan kepada mereka yang toghut yang menghalang syariat Islam, yang memerintah berasaskan hawa nafsu merka dan hawa nafsu pemimpin mereka.     

Di beberapa buah Negara Islam , terdapat kerajaan yang mengeluarkan undang-undang berkaitan dengan kekeluargaan yang bercanggah dengan Syariat Islam. Maka para ulama menentang undang-undang ini, maka mereka menggunakan masjid untuk tujuan tersebut kerana menyedari tidak ada pentas lain selain masjid. Ini kerana seluruh media massa dikuasai oleh pemerintah/kerajaan. Akan tetapi kerajaan yang toghut tersebut akhirnya bertindak menjatuhkan hukuman mati kepada ulama-ulama yang berjuang tersebut. Inilah yang berlaku di Somalia[1].

 

2-Sesungguhnya kuasa besar yang memerintah sebuah kerajaan ingin menggunakan masjid sebagai untuk mendirikan politik mereka yang batil. Apabila mereka mengadakan perdamaian dengan Israel, maka mereka berkata : “Perdamaian adalah satu kebaikan”, dan berdalil dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Sekiranya mereka cenderung untuk berdamai maka berdamailah dan bertawakkallah kepada Allah”.

 

3-Taktala hubungan mereka dengan Israel menjadi buruk, maka mereka menyatakan bahawa Yahudi adalah sejahat-jahat musuh kepada orang yang beriman. Dan mereka menyatakan bahawa melakukan perdamaikan kepada musuh adalah sesuatu yang diharamkan dan satu bentuk pengkhianatan.

 

4-Demikianlah kita melihat mimbar masjid tidak dijadikan sebagai pentas untuk mendirikan risalah Islam. Tetapi sebaliknya dianya dijadikan sebagai agen untuk menyebarkan dakyah politik bagi sebuah kerajaan yang memerintah. Inilah yang menyebabkan masjid hilang identiti dan peranannya. Masjid hilang peranannya di dalam diri Ummah yang akhirnya menjadi hina didepan para ulama dan pendakwah di jalan Allah. Kita berdoa agar Allah s.w.t memberikan petunjuk dan kebaikan kepada agama dan dunia kita[2].

 

5-Satu perkara yang lebih membimbangkan apabila para sekularis menggunakan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w untuk mengharamkan penubuhan sebuah parti politik islam bagi pejuang islam, sedangkan seteru mereka (iaitu pejuang Islam) tidak dapat berbuat demikian.

 

6-Sedangkan al-Quran merupakan dustur untuk semua, dan Rasulullah diutus untuk semua, dan tidak boleh ada dikalangan manusia yang boleh menghalang mana-mana muslim daripada menggunakan ayat-ayat Quran serta hadis-hadis Nabi untuk menguatkan pandangan dan hujjah mereka, selagimana mereka menggunakannya dengan cara yang betul.

 

7-Akan tetapi segala dakwaan untuk menghalang penubuhan sebuah parti politik Islam bagi pejuang Islam ini adalah sesuatu yang tidak berdiri di atas prinsip ilmu. Di sana terdapat banyak Negara yang mempunyai parti politik islam: seperti di Jordan, Morocco, Yaman, Palestin, Turki, Malaysia, Indonesia dan lainnya di mana parti-parti ini sama-sama berjuang melalui pilihanraya dan kebanyakkannya mendapat kerusi yang banyak di dalam parti kerajaan, akan tetapi tidak pernah kita dengari keluhan yang membuktikan kebenaran tuduhan-tuduhan terhadap parti politik Islam.

 

Beberapa peringatan penting :Saya ingin jelaskan beberapa peringatan penting berkenaan dengan isu ini:

 

1-Kita tidak boleh menghalang segolongan rakyat daripada terlibat dengan politik demi membina tanah air mereka serta memperbaiki dan memajukannya hanya semata-mata kerana mereka adalah dari golongan orang-orang yang berpegang kuat dengan ajaran agama (mutadayyinin), ataupun kerana  mereka mempunyai pandangan tertentu untuk memperbaiki dan mengubah Negara yang mana pandangan tersebut diadaptasi dari agama dan tradisi mereka. Berpegang dengan ajaran yang betul serta istiqomah di atas perintah Allah: tidak boleh dijadikan sebagai satu sebab untuk menghalang manusia daripada hak mereka untuk aktif dan turutserta di dalam agenda politik Negara. Begitu juga dengan sikap dan pandangan untuk memperbaiki negara yang lahir dari semangat agama. Kita melihat aliran politik dan pemikiran seperti sekularisme, liberalisme, nasionalisme, komunisme serta aliran pemikiran yang lain telah diberikan hak untuk menubuhkan parti politik mereka sendiri. Tetapi mengapakah orang-orang yang cenderung kepada ajaran Islam ini dinafikan hak mereka untuk membuat perkara yang sama? Perkara seperti ini sudah pasti menyalahi prinsip yang memperjuangkan persamaan antara setiap individu di dalam negara, tanpa sebarang alasan yang boleh diterima. Ianya juga menyalahi perjanjian antara negara-negara dan perjanjian hak asasi manusia dan lainnya.

 

2-Golongan yang ingin menghalang hak orang Islam dari menubuhkan parti politik Islam juga berhujjah bahawa: Penubuhan sebuah parti yang berasaskan agama adalah tidak dibolehkan. Akan tetapi gologan yang cenderung kepada Islam (Islamiyyun) ini tidak ingin menubuhkan parti agama sebaliknya mereka ingin menubuhkan parti Islam dan kedua-duanya mempunyai perbezaan yang jelas. Agama di dalam pemahaman manusia hanyalah melibatkan unsure akidah, ibadat dan rohani sedangkan parti Islam mempunyai maksud yang lebih luas dari itu. Ianya meliputi ekonomi, politik, pendidikan, tarbiyah, pemerintahan dan sebagainya. Oleh itu tidak menjadi satu halangan bagi orang bukan Islam untuk menyertai parti Islam, kerana prinsip yang diperjuangkan oleh parti ini merangkumi orang Islam dan bukan Islam.

 

3-Parti-parti politik merupakan simbol kekuatan pemikiran dan ideologi bagi sebuah bangsa . Maka sudah pasti menjadi hak setiap individu di dalam bangsa tersebut untuk menzahirkan pandangan politik dan ideologi mereka sendiri di dalam batasan negara. Begitu juga keadaannya dengan mereka yang cenderung kepada perjuangan Islam (Islamiyyun), mereka merupakan simbol kekuatan bagi ideologi yang wujud, dan mempunyai pengaruh mereka sendiri. Di dalam pilihanraya-pilihanraya yang berlaku di kebanyakan negara, telah terbukti bahawa parti politik Islam telah mendapat sokongan teramai daripada rakyat. Maka bagaimana kita boleh melupakan perkara ini seterusnya berlaku zalim, sedangkan dalam masa yang sama golongan yang hampir tidak mendapat undian atau tidak mempunyai pengaruh mendapat kelulusan untuk menubuhkan parti mereka sendiri.

 

——————————————————————————–

[1] Peristiwa ini berlaku pada zaman Siyad Baro, yang akhirnya telah digulingkan oleh rakyat.

[2] Fatwa Muasir: 2/199-200, cetakan Dar al-Wafa’.

Advertisements

Posted in Ilmiah | Leave a Comment »

Hak Umat Islam Untuk Menubuhkan Parti Politik (Bhg 1)

Posted by jubahputih02 on July 8, 2009

Artikel Asal Oleh : Dr Yusof al-Qaradhawi

من حق الإسلاميين أن يكون لهم حزب سياسي

 

Dalam membincangkan isu agama dan politik, apa yang cuba dibawa oleh beberapa organisasi  pemerintahan dan cuba disemarakkan oleh penganut sekularisme serta diidamkan oleh mereka ialah menghalang (kelompok pejuang Islam) daripada menubuhkan parti politik. Mereka mengharamkannya ke atas umat islam secara mutlak dengan berhujjahkan dalil-dalil yang lemah, pada realitinya hanyalah tipuhelah dan syubhat :

 

1-Mereka berhujjah bahawa agama adalah sesuatu yang suci, mulia sehingga tidak layak untuk dikotori oleh politik. Oleh kerana itu tidak boleh ditubuhkan sebuah parti politik atas asas agama.

2-Sekiranya dibenarkan pembentukan parti politik yang berteraskan agama ini, maka orang-orang yang memandunya sudah pasti akan merasakan bahawa mereka memerintah atas nama ketuhanan , justeru itu tidak boleh ada dikalangan manusia yang boleh menghalangnya. Jika tidak maka orang tersebut akan menjadi seorang yang kufur atau fasiq.

3-Sekiranya kita membenarkan orang-orang Islam untuk menubuhka parti Islam, maka sudah pasti wajib bagi sebuah negara seperti Mesir membenarkan orang-orang Qibti (kaum kristian Mesir) untuk menubuhkan parti kristian. Perkara ini sudah pasti akan menyebabkan perang kelompok yang akan menyebabkan pelbagai masalah dan fitnah.

4-Parti Islam sudah pasti akan menggunakan masjid-masjid untuk tujuan dakwah politik sedangkan  ianya tidak digunakan oleh parti politik lainnya.

 

Hujah seperti ini sudah pasti merupakan hujah yang tertolak dan tidak mampu untuk dijadikan sebagai neraca timbangan. Ini kerana:

1-Kepercayaan bahawa politik adalah sesuatu yang kotor, keji dan najis yang ditinggalkan oleh syaitan adalah satu kepercayaan yang tidak berdiri di atas asas agama dan ilmu. Sekiranya politik ditakrifkan sebagai : satu proses pemikiran yang berlaku untuk mentadbir dan menyusun kehidupan manusia sesuai dengan maslahah dan kepentingan mereka serta membawa mereka meningkatkan kehidupan sesuai dengan syariat, atau dengan takrif lain[1]: politik adalah setiap pekerjaan yang memandu manusia ke arah kebaikan dan menjauhkan mereka dari keburukan, maka ianya secara individu (zatnya)  bukanlah sesuatu yang kotor, keji, apatah lagi menjadi sesuatu yang haram, tetapi sebaliknya kekotoran dan kekejian itu adalah berpunca dari jiwa orang yang mengeksploitasi politik untuk tujuan yang haram, untuk mewujudkan kemungkaran di atas muka bumi serta permusuhan di kalangan hamba Allah. Kita telah melihat betapa ramai di kalangan pemimpin politik dan pemerintah yang berjaya mendirikan keadilan dan memperjuangkan kebenaran serta menyeru kepada kebaikan, yang akhirnya dikurniakan oleh Allah s.w.t dengan kehidupan yang baik untuk negara dan bangsa dengan sebab keadilan mereka itu.

2-Hujah yang menyatakan bahawa parti Islam yang ditubuhkan sudah pasti menganggap dirinya sebagai wakil yang memerintah bagi kerajaan tuhan dan mereka akan mengeluarkan undang-undang yang di anggap diterima dari langit (tanpa boleh dipertikaikan oleh sesiapa sahaja), merupakan satu hujah yang tidak benar dan palsu.  Sebuah parti politik (secara praktikalnya) tidak boleh ditubuhkan melainkan selepas mereka meletakkan perancangan dan dasarnya, meletakkan sasaran dan mesejnya, menerangkan tujuan dan pendekatan mereka (mencapai tujuan tersebut), serta mengemukakan manhajnya (yang lengkap) untuk mengubah dan memperbaiki masyarakat dari sudut yang pelbagai: ekonomi, kemasyarakatan, thaqofah, pendidikan, politik, akhlak dan seumpamanya.

Sekiranya di dalam pelan tindakan ini mereka mendakwa bahawa mereka memerintah mewakili tuhan, maka permohonan mereka akan ditolak. Sekiranya parti politik Islam ini bekerja berdasarkan prinsip yang dibentuk berasaskan Syariah Islamiyah yang berunsur ijtihad dan tajdid dan terikat dengan Feqh al-Maqosid, al-Muwazanat dan al-Aulawiyat (sama seperti parti lain yang berkerja mengikut garis panduan yang betul), maka kita tidak boleh untuk menuduh mereka (atau menghalang mereka) dengan dakwaan yang tidak benar atau memfitnah mereka tanpa berasaskan dalil maupun bukti. Saidina Ali Bin Abi Tolib sebagai contoh telah membenarkan golongan Khawarij yang menentang beliau untuk mereka mewujudkan kelompok dan parti politik mereka sendiri dengan syarat tidak memulakan peperangan (ataupun pertelingkahan) dengan umat Islam.

 

 3-Dakwaan bahawa membenarkan umat Islam untuk membentuk parti politik akan menyebabkan golongan lain serti kaum Qibti untuk turut sama menubuhkan parti politik adalah satu dakwaan yang lemah. Apakah yang menjadi halangan untuk golongan seperti Qibti ini menubuhkan parti mereka secara terang-terangan, daripada mereka dituduh dengan tuduhan mengamalkan politik secara tersembungi di dalam gereja mereka tanpa kelulusan untuk menubuhkan parti.

 

Memberikan golongan Qibti dan lainnya untuk menubuhkan parti politik secara terang-terangan adalah satu perkara yang berdiri di atas asas kemanusiaan dan ianya tidak menjadi satu masalah atau penghalang, selagi mana mereka berusaha memelihara maslahat negara secara bersama, tidak memecahbelahkan orang ramai semata-mata untuk memastikan mereka berkuasa, serta mereka tidak bekerjasama dengan kuasa asing untuk mengkhianati bangsa dan negara.

 

4-Dakwaan bahawa parti Islam akan menggunakan masjid sebagai pentas untuk menyebarkan fahaman politik mereka merupakan satu dakwaan yang tidak boleh diterima. Ini kerana masjid bukan sekadar untuk golongan yang memperjuangankan Islam semata-mata bahkan ianya adalah untuk kegunaan seluruh kaum muslimin. Oleh itu, menjadi satu kewajipan untuk menghalang masjid dari digunakan untuk menyebarkan fahaman peribadi, atau memerangi parti atau individu tertentu. Akan tetapi kita tidak boleh menghalang masjid mahupun khatib dari mendokong prinsip-prinsip yang diperjuangan oleh Syariat Islam, ataupun menghalang mereka menolak prinsip yang ditolak oleh Syariat secara rambang. Ini kerana perkara ini berdiri di atas asas nasihat menasihati di dalam agama, serta berdiri di atas asas menegakkan amar makruf nahi mungkar yang merupakan ciri utama bagi umat Nabi Muhamad s.a.w.

 

bersambung….

 

 

——————————————————————————–

 

[1] Dinaqalkan oleh Ibn Qoyyim daripada Ibn Aqil di dalam kitabnya Al-Thuruq Al-Hukmiyah: 44, dan di dalam kitabnya I’lam al-Muwaqqiin: 4/373, dan di dalam kitab Badai’e al-Fawaid: 3/673.

Posted in Ilmiah | Leave a Comment »

Ath-Thawabit Wa-Mutaghoyyirat : Satu Pengenalan

Posted by jubahputih02 on July 8, 2009

MUQADDIMAH

Tajuk Ath-Thawabit Wa Motaghoyyirat merupakan suatu tajuk yang baru dalam kamus cabang-cabang ilmu Islam walaupun pada hakikatnya ianya sudah lama wujud dari segi teori dan praktikalnya sejak dari zaman permulaan Islam lagi.Ianya adalah kerana Syariat Islam yang diturunkan oleh Allah s.a.w merupakan  agama dan cara hidup yang terakhir yang diredhai oleh Alllah s.a.w . Oleh kerana itu ia perlullah memiliki cirri-ciri khusus yang tidak sama dengan syariat-syariat  lain yang sebelumnya kerana syariat-syariat yang sebelumnya hanyalah khusus untuk zaman-zaman tertentu sahaja.

 

TAKRIF

Ath-Thawabit Wa Mutaghoyyirat ini merupakan salah satu daripada keistimewaan Syariat Islam. Ia membawa maksud di dalam ajaran Islam ada perkara yang tetap dan tidak berubah dengan berubahnya masa dan tempat dan di sana ada perkara yang boleh berubah mengikut tempat dan masa.

Dalam erti kata lain Ath-Thawabit  ialah sejumlah hukum hakam atau ajaran Islam yang sabit dengan nas yang qat’ie daripada Al-Quran dan Sunnah serta ijmak ulamak yang tidak menerima takwil termasuk juga sejumlah hukum hakam yang rajih yang mana jika sesiapa mengingkarinya dia termasuk di dalam golongan yang menyimpang dari landasan sebenar ajaran Islam.

Al-Mutaghoyyirat pula merupakan sejumlah ajaran Islam yang sabit dengan dalil zhonni atau perkara yang menerima ijtihad di dalam masalah furuk yang mana khilaf di dalam perkara tesebut tidak dijadikan ukuran untuk kita berpecah belah dan menganggap pihak yang berkhilaf dengan kita sebagai bukan dari golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Kesimpulannya, perkara yang termasuk di dalam Ath-Thawabit tidak dibolehkan untuk kita berkhilaf padanya. Semua orang yang mengaku Islam mestilah menerimanya dan menjadikannya sebagai asas kepada wala’ dan bara’ ataupun ukuran yang jelas dalam menerima sesorang itu daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah atau sebaliknya. Adapun dalam masalah Al-Mutaghoyyirat hendaklah semua orang Islam dari Ahli Sunnah Wal Jamaah menerima perbezaan pendapat dan bertolak ansur di dalam perkara tersebut dan tidak menjadikannya sebagai asas atau dasar untuk menerima atau menolak sesorang itu dari kelompok Ahli Sunnah Wal Jamaah.

 

MATLAMAT PENGAJIAN ATH-THAWABIT WA MUTAGHOYIRAT

Antara matlamatnya ialah :

 

1.Menyatukan umat Islam dan gerakan-gerakan Islam di atas satu dasar yang jelas.

Di akhir zaman ini kita melihat umat Islam telah berpecah kepada pelbagai kumpulan dan jemaah yang menyaksikan pertelingkahan yang dahsyat sesama mereka. Masing-masing mendakwa pendapat mereka adalah betul dan yang lainnya adalah salah. Lalu mereka berpecah dan menjadi lemah sedangkan matlamat yang sama hendak dicapai iaitu menegakkan Islam walaupun di sana ada sedikit perbezaan tafsiran mengenai Islam dan ijtihad di dalam manhaj dakwah.

Oleh kerana itu kita mendapati pengkajian mengenai Ath-Thawabit Wa Mutaghoyyirat ini sangat penting dalam menyatukan umat Islam kerana ia meletakkan suatu dasar yang jelas apakah perkara yang perlu diterima oleh semua kelompok dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah yang tidak boleh berkhilaf padanya dan perkara apakah yang dibolehkan berkhilaf tanpa mengurangkan sedikitpun rasa kasih sayang dan semangat ukhuwwah di kalangan umat Islam. Apa yang kita lihat pada hari ini umat Islam berkhilaf dan berpecah belah di dalam perkara yang tidak sepatutnya bahkan ianya termasuk di dalam perkara remeh-temeh akibat tidak memahami Ath-Thawabit Wa Mutaghoyyirat dan ianya melemahkan umat Islam dan melambatkan kemenangan Islam.

 

2.Membezakan Antara Prinsip dan Pendekatan Di Dalam Islam

Seperti yang kita maklumi bukan semua perkara yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para Sahabatnya di dalam sirah mereka dianggap sebagai perkara yang tetap di dalam Islam dan mesti dilaksanakan dalam semua keadaan dan masa bahkan di sana ada perkara yang bersifat tasyri’ yang membawa kepada hukum amali yang wajib diikuti dan di sana juga ada perkara yang bersifat pendekatan politik, uslub dakwah, strategi perang dan sebagainya yang boleh berubah mengikut masa dan tempat berpandukan kepada maslahah, kewujudan darurat dan sebagainya.

Perkara ini penting difahami terutamanya dalam medan dakwah dan cara orang Islam bermuamalat dengan bukan Islam di Negara Islam dan Negara bukan Islam supaya mereka tidak berkeras dan bertegas di dalam masalah yang bersifat pendekatan dan bukan prinsip ataupun perkara yang bersifat adat sesuatu kaum dan bukan berisfat syariat yang diturunkan oleh Allah s.a.w.

Sebagai contoh adakah perlu seseorang muslim  makan dengan tangannya dengan bukan muslim di dalam satu majlis rasmi yang mana semua orang lain menggunakan sudu dan garfu di atas hujjah Nabi s.a.w menggunakan tangan ketika makan, sedangkan perkara itu bukan bersifat tasyri’ bahkan ianya adalah adat kaum Arab pada ketika itu, yang mana tindakan muslim tersebut boleh menimbulkan rasa jelek bukan Islam terhadap Islam tetapi kita tidaklah mengatakan adat kaum Arab itu jelek kerana ianya adalah perkara nisbi yang berbeza pandangan dari satu tempat ke satu tempat dan satu kaum ke satu kaum.

 

LAPANGAN ATH-THAWABIT

Perkara-perkara yang bersifat Ath-Thwabit ini boleh didapati kebanyakannya di dalam masalah aqidah, ibadat, akhlak dan asas-asas di dalam muamalat. Jadi kebanyakan masalah  asas aqidah seperti beriman kepada Allah, rasul-rasul, hari akhirat, malaikat, dan sebagainya tidak menerima sebarang khilaf dan semua umat Islam mestilah bersatu menerimanya begitu juga dalam masalah akhlak seperti ikhlas, benar, amanah dan sebagainya yang tidak pernah berubah di dalam mana-mana syariat yang diturunkan oleh Allah s.a.w. Adapun kebanyakan ibadat perlulah difahami bahawa ianya juga termasuk di dalam Ath-Thawabit kerana ia merupakan matlamat utama daripada Syariat Islam yang menuntut umat Islam memperhambakan diri kepada Allah s.a.w dengan cara tertentu tanpa menimbulkan persoalan kerana ianya adalah ujian sejauh mana yakinnya sesorang hamba itu dengan tuhannya. Asas-asas muamalat juga termasuk di dalam Ath-Thawabit kerana ianya sabit dengan nas qat’ie atau ijmak ulamak seperti pengharaman riba, tipu, judi serta harusnya berjual beli, mudharabah dan lain-lain perkara yang seumpamanya.

 

LAPANGAN AL-MUTAGHOYYIRAT

Al-Mutaghoyyirat mempunyai lapangan yang luas di dalam Islam kerana perkara-perkara yang qat’ie di dalam Islam adalah sedikit jika dibandingkan dengan dengan perkara zhonni dan ianya adalah satu kemudahan ke atas umat Islam ini dan ia juga merupakan syiar Islam sebagai agama sejagat iaitu Islam Itu Mudah.

Perkara yang termasuk di dalam Al-Mutaghoyyirat ialah masalah  furuk di dalam aqidah seperti adakah Nabi s.a.w pernah melihat Allah Ta’ala ketika hidup di dunia dan perkara ini khilaf di kalangan sahabat sendiri begitu perbezaan manhaj pengajian aqidah kepada sistem sifat 20 yang berbeza dengan sistem tauhid uluhiyah, rububiyah dan sebagainya yang tidak perlu sama sekali umat Islam berpecah dan bergaduh disebabkan perkara tersebut kerana isinya adalah sama iaitu beriman kepada Allah dan mensucikannya daripada sifat-sifat kekurangan.

Termasuk di dalam A-Mutaghoyyirat juga sebahgian furuk ibadat yang khilaf dikalangan fuqaha’ dan bukan asas ibadat itu seperti kewajipan solat lima waktu, kewajipan zakat dan sebagainya adapun sedikit perbezaan mengenai cara menunaikan itu adalah termasuk di dalam Al-Mutaghoyyirat yang mesti kita bertolak ansur di dalamnya.

Lapangan Al-Mutaghoyyirat yang paling luas sekali ialah dalam masalah muamalat iaitu selain ibadat yang merangkumi muamalat dari segi ekonomi seperti jual beli ataupun masalah politik dan pemerintahan negara yang mana kebanyakannya bergantung kepada waqi’ semasa dan maslahah dan ianya boleh berubah dari semasa ke semasa berpandukan kepada ijtihad fuqaha’ dan pemerintah dengan mengambil kira kepentingan Islam dan umat Islam.

 

Rujukan : Ath-Thawabit Wa-Mutaghoyyirat fi Masirotil Amal Islami oleh Dr Solah Sowi.

Posted in Ilmiah | Leave a Comment »

Siasah Syar’iyyah Dan Perlaksanaannya Pada Masa Kini

Posted by jubahputih02 on July 8, 2009

Oleh : Dr Abdul Aziz Hanafi

Siasah Syar’iyyah atau Sains Politik Islam merupakan suatu peruntukan khas anugerah Allah swt kepada pimpinan negara/negeri Islam yang menjadikan Al-Qur’an dan Sunnah al Nabawiyah sebagai perlembagaannya. Ianya muncul bersama kelahiran Kerajaan Islam yang pertama di Madinah al-Munawwarah yang dipimpin sendiri oleh baginda s.a.w. Kemudian diikuti pula di zaman pemerintahan para khalifah al-Rasyidin r.a. ajma’in dan di zaman selepasnya.

Fungsi dan tugasnya amat penting dalam menangani dan menyelesaikan masalah-masalah semasa yang sentiasa membaru yang memerlukan kepada jawapan yang tepat dan bijaksana dengan mengambil kira kesesuaian dan ketepatannya dengan kehendak Syariah Islam yang mulia. Maka sudah tentu pihak yang berautoriti dalam menentukan hukum-hukum menerusi Al-siyasah al-Syar’iyyah ialah pimpinan kerajaan Islam yang memiliki keupayaan berijtihad secara jama’ie hasil gabungan antara para ulamak dan kumpulan profesional seperti yang pernah dilakukan di zaman pemerintahan Khalifah Harun al-Rasyid ketika baginda meminta Al-Qadhi Abu Yusuf menyediakan rangka cadangan kutipan hasil-hasil pertanian termasuklah menyediakan infrastruktur ke arah menjayakan projek tersebut begitu juga mengenai sistem pengairan yang baik dan teratur. Maka dengan kerjasama Osman bin Hunaif, seorang juruukur yang terkenal pada masa itu, maka petua Al-Qadhi Abu Yusuf telah berjaya dihasilkan dan dikenali dengan nama al-Kharaj. Melihat kepada kedudukan kita sebagai sebuah jama’ah Islamiyah yang dilihat sebagai sebuah jamaah yang memiliki keupayaan memanfaatkan kesemua tenaga para ulamak dan professional kita dalam membina keutuhan hukum, undang-undang, peraturan-peraturan yang sebahagiannya terpaksa mengambil kira kesesuaian masa dan tempat berdasarkan kepada prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah syarak yang konkrit.

 

PEMBAHAGIAN HUKUM SYARAK

Sepanjang kajian kita dalam bidang syariah, kita mendapati bahawa hukum-hukumnya terbahagi kepada dua bahagian:

 

Pertama: Dikenali sebagai hukum-hukum syarak yang ‘kulliyah’

Iaitu hukum-hukum syarak yang tetap dari segi prinsip dan pelaksanaannya dan tidak tunduk kepada sebarang perubahan masa dan tempat sehinggalah ke Hari Kiamat.

Sebagai contoh, hukum-hukum mengenai urusan aqidah, akhlak, ibadah, undang-undang keluarga (pusaka), hudud dan qisas.

Kedua : Dikenali sebagai hukum-hukum syarak yang ‘juz’iyah’.

Hukum-hukum ini agak berbeza dengan hukum-hukum syarak yang pertama kerana perlaksanaan hukum-hukum ini boleh berubah berdasarkan kepada perubahan masa dan tempat walaupun prinsip-prinsipnya masih kekal dan tidak berubah.

Sebagai contoh, pelaksanaan konsep Al-Syura boleh menerima perubahan daripada semasa ke semasa sedangkan prinsip atau konsepnya kekal dan tidak berubah sepertimana yang berlaku selepas kewafatan baginda saw khususnya di zaman khulafa’ al-Rasyidin r.a. Hukum-hukum syarak di bahagian inilah yang pernah diungkapkan oleh para ulamak dengan kata mereka: “Di sana terdapat beberapa hukum syarak yang berkait rapat dengan ‘illah (sebab), dengan kata lain adanya ‘illah ada hukumnya dan tiada ‘illah maka tiada hukumnya”. Sebagai contoh, sepertimana tindakan Saidina Umar al-Khattab r.a. memberhentikan pemberian zakat kepada ketua-ketua Quraisy yang masih kafir yang sebelum ini pernah mendapatnya di zaman baginda Rasulullah saw, di zaman Saidina Abu Bakar r.a. dan di awal zaman pemerintahan baginda sendiri (sebelum pembukaan Rom dan Parsi).

Hukum-hukum syarak bahagian kedua inilah yang dikenali dengan Al-Hukum al-Siasah al-Syar’iyyah.

 

PENGERTIAN SIASAH SYAR’IYYAH

Para ulamak mengemukakan dua takrif siasah syar’iyyah:

 

1. Takrif ‘Am

Siasah Syar’iyyah mengikut takrif ‘am diertikan sebagai peraturan-peraturan dan undang-undang yang digubal untuk mengurus dan mentadbir negara di mana ianya sejajar dengan prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah syarak walaupun tidak terdapat dalil-dalil yang tafsiliy. Takrif ini merangkumi semua aspek peraturan dan undang-undang samada yang berkaitan dengan lembaga penggubal, pelaksana dan kehakiman termasuklah juga urusan-urusan perlembagaan, soal dalam dan luar negara. Di antara buku-buku yang ditulis berkaitan dengan siasah syar’iyyah seperti Al-Hukum al-Sultaniyah karangan Al-Imam al-Mawardi Al-Syafi’e dan Qadhi Abu Ya’ia Al-Hanbali, kitab Al-Siasah al-syar’iyyah fi Islah al-Ra’i wa Ra’iyyah karangan Al-Imam Ibn Taimiyah dan kitab Tafsir al-Hukum oleh Ibn Firhaun.

Kitab-kitab yang serupa ini menyebutkan perkara-perkara yang menjadi kewajipan ke atas pemerintahan perkara-perkara yang menjadi kewajipan ke atas pemerintahan kerajaan Islam terhadap rakyat jelata dalam semua aspek kehidupan.

 

2. Takrif Khas

Ia diertikan sebagai suatu hukum yang agak keras yang dipetik daripada dalil-dalil yang ijmaliyah sekiranya hukum fiqh biasa tidak dapat mencapai matlamat di mana hukum serupa itu disyariatkan.

Ianya seolah-olah menyerupai undang-undang khas yang digubal apabila negara berada di dalam keadaan darurat.

Ibn Nujaim al-Hanafi menjelaskan tentang hukuman zina menyatakan bahawa siasah syar’iyyah bermaksud suatu tindakan yang dilakukan oleh pemerintahan demi untuk suatu maslahah walaupun tindakan tersebut tidak disokong oleh dalil yang juz’ie, seperti mengenakan hukuman buang daerah kepada penzina yang belum muhsan selain disebat sebanyak seratus kali. Untuk menjelaskan lagi kedudukan siasah syariyyah, para ulamak memberikan beberapa contoh antaranya seperti berikut:

1.Boleh dikenakan hukuman bunuh ke atas pencuri yang berulang kali melakukan jenayah tersebut.

2.Seseorang yang dituduh mencuri yang enggan mengaku bersalah, pihak berkuasa boleh mengenakan hukuman ta’zir seperti mengurungnya atau menyebatnya dengan syarat pada hemat pihak berkuasa bahawa besar kemungkinan tertuduh sememangnya terbabit dalam kes kecurian tersebut dan barang yang dicuri masih berada di tangannya. Sedangkan jika menurut hukum fiqh biasa, kes seperti di atas pihak pendakwa akan mengemukakan keterangan dan bukti-bukti yang mensabitkan pertuduhan ataupun pihak tertuduh bersumpah menafikan tuduhan tersebut

3.Rasulullah saw pernah disoal mengenai unta dan kambing yang hilang di padang pasir. Baginda menyuruh agar sekiranya kambing-kambing itu dijumpai hendaklah mereka mengurungnya sehingga didapati tuannya dan diserahkan kepadanya semula. Adapun mengenai unta-unta yang hilang, baginda mengarahkan agar binatang tersebut dibiarkan begitu sahaja sehinggalah tuannya menjumpainya. Hukum ini berkuatkuasa sehinggalah zaman Saidina Othman bin Affan r.a. Di zaman baginda keadaan dan suasana agak berbeza dengan keadaan sebelumnya di mana perompak dan penyamun bermaharajalela hatta di padang pasir. Kerana itu, baginda memerintahkan agar unta dan kambing yang hilang ditangkap dan dikurung sementara menunggu kehadiran tuan empunya, sedangkan sebelum itu apa yang dibimbangkan hanyalah binatang-binatang buas seperti singa dan harimau. Kambing sebagai binatang yang kecil dan lemah tentunya tidak mampu melawan binatang buas tersebut sepertimana unta.

Di zaman Saidina Ali r.a. pula, segala –perbelanjaan untuk menjaga binatang tersebut diambil daripada Baitul Mal.

4.Saidina Umar r.a. menjatuhkan talak tiga ke atas lelaki yang menceraikan isterinya (talak tiga) dengan satu lafaz.

5.Penulisan mushaf di zaman Saidina Abu Bakar r.a.

6.Mengadakan jabatan-jabatan di zaman Saidina Umar r.a.

7.Dasar Saidina Umar r.a. mengekalkan tanah-tanah yang dibuka di Iraq kepada tuan-tuan empunya disamping mengenakan cukai (al-kharaj) ke atas tanah tersebut sekiranya mereka masih menganut agama asal mereka

8.Keputusan Saidina Umar r.a. membuang daerah seorang pemuda di Madinah yang bernama Nasr bin Haliaj. Pemuda ini memiliki rupa paras yang amat kacak sehingga mempesonakan seorang gadis di kota suci itu. Mulanya Umar r.a mengarahkan pemuda itu dicukur. Namun, rupa parasnya masih lagi cantik. Akhirnya dia dibuang daerah ke Basrah, Iraq. Pada hemat Saidina Umar r.a., jika pemuda tersebut masih dibiarkan berada di Madinah, kemungkinan besar gadis-gadis lain turut terpesona dengan kekacakannya.

Ini suatu fitnah yang besar terutama di kota suci Madinah. Berlainan sekiranya kalau pemuda itu di Basrah sebab beliau dikira terasing di tempat orang. Lagipun, mungkin dia akan bersikap lebih waspada terhadap dirinya.

 

HUKUM-HUKUM YANG DIPUTUSKAN MENERUSI SIASAH SYARIYYAH

Perlu ditegaskan bahawa semua hukum yang diputuskan menerusi Al-Siasah al-Syar’iyyah ianya juga digolongkan sebagai hukum-hukum syariah. Ini kerana ianya ditentukan menerusi dalil-dalil syariah yang umum sepertimana ia diputuskan melalui al-Maslahah al-Mursalah yang diguna pakai sebagai salah satu sumber hukum. Oleh itu, penggunaan istilah al-Hukum al-Siasah al-Syar’iyyah yang terdapat di dalam kitab-kitab berkenaan adalah penggunaaan istilah biasa dan tidak berubah kandungan dan struktur hukum-hukum tersebut.

Hukum-hukum tersebut memberi keluasan dan kelonggaran kepada pemerintah kerajaan Islam dalam melaksanakan keadilan dan memastikan kemanan tumbuh subur di dalam kehidupan masyarakat dengan syarat ianya bebas daripada sikap keterlaluan dan kecuaian dan berish daripada sebarang kepentingan diri.

Hukum-hukum yang diputuskan melalui siasah syar’iyyah lebih bersifat fleksibel. Walaubagaimanapun, para ulamak meleraikan syarat-syarat berikut:

1.Ianya diputuskan oleh pemerintah negara dan kerajaan Islam yang menjadikan Al-Qur’an dan Al-Sunnah sebagai perlembagaannya. Kerajaan yang tidak Islam atau orang perseorangan tidak berhak menjadikan siasah syar’iyyah sebagai saluran untuk mengeluarkan hukum-hukum tersebut.

Maka dalam konteks kita sebagai sebuah Jama’ah Islamiyah yang setakat ini diamanahkan oleh Allah SWT untuk mentadbir dua buah negeri Kelantan dan Terengganu, di samping DUN-DUN dan Parlimen yang kita kuasai, maka pada hemat penulis, kita sudah berupaya insya-Allah untuk mengeluarkan hukum-hukum dan peraturan-peraturan menerusi al-Siasah al-Syar’iyyah lebih-lebih lagi perkara yang berkaitan urusan dalam jama’ah, begitu juga urusan luar yang masih berada di dalam bidang kuasa kita.

2.Hukum-hukum tersebut hendaklah bertepatan dengan semangat perundangan Islam serta berpandukan kepada kaedah-kaedah dan prinsip-prinsip am dalam Islam seperti kaedah Sadd al-Zara’ie dan Raf’a al-Harj sepertimana ia juga bersesuaian denga prinsip Al-syura, Tahqid al-Adalah dan prinsip Al-Ruju’ bimu’ dhakit al-umuri ila ahl al-zikri wa al-Ra’yi (merujuk semua urusan yang rumit kepada kumpulan cerdik pandai).

3.Tiada sebarang percanggahan yang hakiki dengan mana-mana dalil tafsiliy yang telah menjadi sebagai syariat’ am di setiap masa dan tempat, ataupun sememangnya ada dailil tersebut tetapi hanyalah sebagai syariat/peraturan sementara spertimana masalah penetapan harga barangataupun sedari asal tiada sebarang dalil tafsiliy berhubung dengan perkara berkaitan Ibn Qayyim r.a. dalam kitabnya Al-Turuq al-Hukmiyah Fi Siasah al-syar’iyyah menukilkan kata-kata Ibn ‘Uqail r.a. yang bermaksud:Sudah menjadi kebiasaan betapa dibolehkan beramalan dengan siasah syar’iyyah dalam negara malah itu merupakan suatu tekad bahkan setiap tokoh ulamak (imam) telah bersikap demikian. Imam Al-Syafi’e r.a. menegaskan katanya…”Tiada siasah dikira sah melainkan ianya hendaklah bertepatan dengan kehendak syarak. ‘Ibn ‘Uqail r.a. pula menyatakan: “Siasah ialah suatu tindakan yang boleh membawa manusia lebih hampir kepada kebaikan dan terhindar jauh daripada kebinasaan walaupun itu tidak pernah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dan tidak pernah diturunkan melalui wahyu”.

Inilah siasah yang dikatakan siasah syar’iyyah yang adil dan saksama.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan kepada penjelasan di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa saluran al-Siasah al Syar’iyyah sepatutnya dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh PAS sebagai organisasi Islam yang bersifat haraki yang mengambil tempat sebuah kerajaan Islam di rantau ini.

Kita sesungguhnya memiliki tiga fakta utama dalam memenuhi keperluan siasah syar’iyyah iaitu:

1.Timbulnya isu-isu dan masalah-masalah baru yang memerlukan jawapan yang tepat.

2.Wujudnya kumpulan ilmuan yang terdiri daripada ulamak dan professional yang pada penulis dapat di manfaatkan dalam melengkapkan lagi organisasi pengurusan dan pentadbiran jama’ah.

3.PAS bukan lagi sebagai sebuah badan dakwah, malah dengan izin Allah SWT telah mengorak selangkah ke hadapan sebagai sebuah kerajaan walaupun di peringkat negeri Sama-sama kita berdoa semoga Allah swt sentiasa menganugerahkan taufik dan hidayahNya serta mengekalkan kerajaan PAS yang sedia ada dalam usahanya untuk meluaskan sempadan pemerintahannya dan meyakinkan kepada masyarakat umum betapa Islam sebagai pilihan utama mereka di masa dahulu, sekarang dan untuk selama-lamanya, Amin.

Posted in Ilmiah | 1 Comment »

Krisis Ekonomi US : Gambaran, Ulasan & Pandangan Islam

Posted by jubahputih02 on July 8, 2009

Oleh : Ust.Zaharuddin Abd Rahman

 

Amerika Syarikat sedang menghadapi kejatuhan ekonominya akibat sistem kapitalis. Apa sebenarnya yang berlaku dan apa kaitannya dengan riba?. Dan adakah jika sistem kewangan dan ekonomi Islam dilaksanakan, kita akan terselamat dari malapetaka seperti ini. Tulisan ini akan cuba mendedahkan isu ini dalam bentuk yang separa ilmiah dengan kumpulan sasaran pembaca orang awam.

 

Justeru, jika anda seorang cendiakawan ekonomi, kewangan dan perbankan, saya kira tulisan ini mungkin tidak menambahkan sebarang nilai dan pengetahuan baru buat anda. Saya juga menggunakan bahasa-bahasa bukan kewangan bagi memudahkan kefahaman orang awam dalam memahami isu ini secara mudah.

 

Walaupun isu ini agak kompleks untuk diterangkan dengan mudah kepada pembaca yang tiada basic ilmu kewangan dan perbankan (kerana ia perbincangan berkenaannya banyak menggunakan istilah-istilah khusus kewangan dan perbankan), namun saya akan cuba sekadar kesempatan waktu dan kemampuan yang ada untuk memberi faham. Isunya begini..

 

Kegawatan bermula dari kes pinjaman dan pensekuritian bon Subprima.

 

FAHAMI SUBPRIME MORTGAGE TERLEBIH DAHULU

 

Subprime mortgage atau dalam bahasa Malaysia kita sebut “peluang kedua pinjaman”.

 

Ia adalah pinjaman wang yang diberikan kepada sekumpulan pengguna miskin, manakala sebahagian lainnya tidak menepati kriteria peminjam yang BOLEH diluluskan jika dilihat dari piawaian sesebuah bank. Ia disebut sebagai mempunyai ‘credit rating’ yang rendah. Mereka ini biasanya terdiri dari :-

  • mereka yang mempunyai pendapatan rendah,
  • mempunyai sejarah dan rekod kegagalan bayaran hutang yang tinggi, atau ‘rekod merah’.
  • mereka yang beban hutangnya telah melebih kemampuan pendapatannya,
  • para spekulator yang tiada mempunyai wang tetapi ingin membeli untuk tujuan pelaburan dan lain-lain lagi.

 

Walaupun demikian, mereka telah diberikan peluang kedua untuk membuat pinjaman.

 

Perlu diingat, ia bukannya dibuat atas dasar ingin membantu tetapi berpunca dari sifat tamak pihak kapitalis dalam perolehan untung, mereka juga tidak menghiraukan samada kumpulan miskin dan bermasalah serta terdesak tadi akan semakin tertindas ataui tidak. Apa yang penting buat mereka adalah untuk mengambil peluang meraih untung sebanyak mungkin.

 

Telah saya tegaskan beberapa kali di web ini, apabila pinjaman diberikan kepada mereka yang berpotensi untuk gagal membayar balik, risiko kegagalan membayar hutang yang dinamakan ‘event of default’ akan menjadi semakin tinggi. Menurut kebiasaan sesebuah bank,  jika risikonya tinggi maka lagi tinggilah kadar riba ‘interest’ yang akan dikenakan terhadap peminjam.

 

Menurut faktanya, apabila lebih 100 buah syarikat yang memberi pinjaman jenis subprime seperti New Century Financial Corporation memfailkan bankruptcy akibat gagal memperolehi pulangan beserta riba yang dikehendakinya, kegawatan mula kelihatan.  Kegagalan ini membawa kerugian sebanyak USD 6.5 trillion dan memberikan kesan negatif kepada seluruh industri jual beli rumah, perbankan dan ekonomi USA. [1]

 

Isu ini mula menggugat ekonomi Amerika mulai tahun 2007 dan berterusan kesannya sehinggalah apa yang berlaku kepada kebrankupan dan kerugian besar syarikat gergasi di Bursa Saham Wall Street seperti Lehman Brothers, Merrill Lynch, AIG dll. Ia bakal membawa kesan domino atau kesan bertali kepada mana-mana syarikat yang mempunyai ikatan dengan mereka yang rugi ini, akan saya huraikan kemudian.

 

Ia bermula apabila sektor perumahan di USA menjadi bubble. Erti bubble dalam konteks ini adalah apabila nilai valuasi rumah meningkat sehingga mencapai tahap unsustainable iaitu tidak mampu lagi ditanggung jika dilihat kepada purata pendapatan penduduk.

 

Hasilnya, bilangan peminjam yang gagal ia disebut ‘defaulters’ menjadi semakin tinggi. Keadaan ini merebak sehingga berlakunya krisis kegawatan pada bulan Ogos 2007 yang lalu.

 

APA KISAH CADANGAN KERAJAAN US UNTUK BAILOUT USD 700 BILION?

 

Apabila ini terjadi, nilai rumah tiba-tiba menjadi jatuh merudum pula sehingga banyak pihak yang telah membeli dan memegang rumah dan hartanah tidak lagi mendapat untung dari aset yang mereka pegang. Kerugian pun menjelma dan memberikan kesan kepada seluruh sektor kredit, perbankan dan ekonomi dunia. Pihak bank akan ditimpa Non Performing Loans (NPL) atau hutang tertunggak yang tinggi, selain itu ia juga memberi kesan rugi kepada seluruh sektor pembinaan, pembekal dan banyak lagi. Ia juga bakal membawa keruntuhan, hasilnya Presiden USA, George Bush telah memperuntukan ‘bail-out plan’ dengan harga antara USD 700 billion ke USD 1 trillion untuk membeli aset pinjaman tertunggak yang merosakkan tersebut.

 

Pihak US merancang, setelah membeli semua aset tadi, mereka akan menjualnya semula dan memperolehi keuntungan pula darinya. Namun terdapat pakar pelaburan seperti Warren Buffet dan ramai lagi yang menganggap lebih bijak jika kerajaan membiarkan sebahagian sekuriti tenat dan tertunggak ini dijual di pasaran terbuka kepada sektor private dan bukannya dibeli oleh kerajaan. [2]

 

Secara ringkasnya isunya adalah :-

 

a)       Apa yang menjadi isu dengan kes bail out terbaru ini adalah, jumlah besar itu adalah wang hasil kutipan dari pembayaran cukai dari seluruh warga USA. Namun malangnya wang cukai yang bayar mereka akan digunakan untuk menyelamatkan beberapa buah syarikat gergasi di Wall Street, sedangkan ramai yang tidak terlibat dengan aktiviti saham dan tidak mendapat faedah secara langsung dari bail-out ini. Inilah yang menyebabkan kemarahan orang ramai. Duit mereka digunakan untuk menyelamatkan si kaya manakala syarikat kecil dan sederhana tiada sebarang bantuan.

 

b)       Selain itu, untuk mejayakan tujuan ini, kerajaan US terpaksa mencetak lebih banyak wang dan ini akan meningkat kadar inflasi iaitu nilai USD akan jatuh merudum.

 

c)       Sebahagian pakar ekonomi menamkannya sebagai hyperinflation atau inflasi di luar kawalan. Selain itu purchasing power mereka turut jatuh.

 

Contoh hyperinflation adalah apa yang berlaku kepada Germany pada tahun 1923 apabila kadar tukarannya adalah Marks (Matawang German) 4,200,000,000,000 (4.2 billion) adalah sama dengan USD 1 sahaja!. Yang terbaru adalah Zimbabwe di mana nilai duit Zimbabwe sebanyak 688 billion adalah sama dengan USD 1. [3]

 

d)       Ini juga bermakna, semua peminjam-peminjam di bank US terpaksa mencari sumber wang lain untuk mebayar hutang mereka disebabkan nilai matawang mereka menjadi kecil. Kalau dulu USD 1000 mereka boleh membayar pinjaman perumahan bulanan, namun akibat bail-out ini, nilai USD 1000 itu sudah jatuh kepada USD 900.

 

e)       Ia juga boleh mengakibatkan pelbagai bencana ekonomi seperti berlakunya penyorokan barang pengguna kerana menunggu harga meningkat.

 

f)        Hutang US juga pasti akan meningkat tinggi , dijangkakan hutang US akan meningkat kepada USD 11.3 trillion daripada jumlah sekarang iaitu USD 10.6 trillion. [4]

 

231 ahli akademik yang merupakan pakar ekonomi di univeristi seluruh USA membantah tindakan ini dalam satu surat yang ditandatangani bersama oleh mereka. Mereka menegaskan :-

 

“Investors who took risks to earn profits must also bear the losses. […] The government can ensure a well-functioning financial industry […] without bailing out particular investors and institutions whose choices proved unwise.” [5]

 

 

PENSEKURITIAN PINJAMAN SUBPRIMA & PANDANGAN ISLAM

 

Bagi anda memahami isu ini dengan lebih tersusun, mari memhami isu subprime dan pensekuritiannya. Keadaan menjadi parah sebenarnya, apabila pinjaman-pinjaman SUBPRIME tadi telah disekuritikan menjadi . ‘Mortgage-backed Securities’ ; (iaitu sijil-sijil boleh niaga yang disandarkan kepada sesuatu aset (asset-backed security ) yang mana cash flow atau aliran tunainya datang dari pembayaran pinjaman pokok dan interest bagi satu kelompok pinjaman perumahan. Kemudiannya ia diniagakan dengan risiko berbeza mengikut tahap-tahapnya. Dalam kes yang sedang kita bincangkan ini, kelompok pinjaman itu adalah dari pinjaman subprime yang telah diberitahu tadi.

 

Untuk analogi mudah lagi ringkas, ia adalah seperti berikut:-

 

Encik David berhutang sebanyak RM 1 juta dari Encik Lingam. Encik David dikehendaki membayar semula hutangnya sebanyak RM 1.5 juta dalam 5 tahun. Ini bermakna Encik Lingam mengenakan RM 500,000 riba ke atas Encik David.

 

Tiba-tiba selepas dua bulan, atas sebab  tertentu, Encik Lingam perlukan wang tunai dengan segera, untuk menyegerakan perolehan tunai, Encik Lingam telah menjual hutang Encik David tadi kepada En Chua dengan harga yang lebih rendah iaitu RM 1.3 juta. Walaupun harganya lebih rendahnamun Encik Lingam puas hati kerana ia memperolehinya secara cash atau tunai.

 

(Inilah yang dimaksudkan jualan hutang secara diskaun, dan ia dianggap riba oleh Ulama antarabangsa kerana wang ditukar dengan wang syaratnya mestilah sama nilai)

 

Di hujung transaski, Encik Lingam berjaya perolehi wang tunai segera namun sedikit berkurangan dari jumlah yang patut diperolehinya jika dia sanggup menunggu selama 5 tahun.

 

Dan risiko menunggu bayaran hutang penuh oleh Encik David kini sudah dipindah kepada En Chua, namun En Chua bakal menerima untung riba sebanyak RM 200,000 pula dengan mudah.

 

Encik David tetap perlu membayar seperti biasa.

 

Berkemungkinan En Chua akan menjualkannya kepada Encik Mutu pula dengan harga RM 1.2 juta.

 

Untuk memahami isu yang sedang dibincang, anda hanya menukarnya seperti berikut:-

Encik David – Peminjam miskin dan tidak cukup syarat

Encik Lingam – Syarikat pemberi hutang seperti New Century Financial Corporation

Encik Chua – Lehman Brothers dan lain-lain.

Encik Mutu – Semua bank yang membeli MBS ini dari Lehman, Merrill Lynch dan lain-lain.

 

Maka apabila encik David gagal membayar hutang, semua pihak akan terancam. Inilah yang berlaku.

 

Inilah namanya discounted debt trading,  ini dikenalpasti berlaku dalam kes subprime. Iaitu apabila pihak bank pelaburan membeli MBS yang mewakili hutang perumahan tadi, mereka telah membayar sejumlah wang yang besar, dan kini mereka bergantung kepada bayaran hutang oleh peminjam-peminjam berisiko tadi. Tiba-tiba peminjam gagal membayar dan sebahagiannya diisytiharkan bankrupt meningkat, menyebabkan keuntungan yang pihak bank jangkakan tidak kunjung tiba, sebaliknya kerugian pula menjelma.

Posted in Ilmiah | Leave a Comment »