Suara Damsyik

Jangan Biarkan Sehari Berlalu Tanpa Perjuangan

Born To Be A Reader

Posted by jubahputih02 on November 3, 2009

Berdasarkan laporan kajian tabiat membaca yang dibuat oleh UNESCO pada tahun 2008 menunjukkan bahawa rakyat Malaysia membaca 12 buah buku setahun, berbanding hanya 5 muka surat setahun pada tahun 2004. Satu kajian juga telah dibuat terhadap ahli PPMS di Syria pada tahun 2008 memjelaskan bahawa ahli PPMS secara purata hanya membaca 2 buah buku setahun. Ini membuktikan bahawa amalan ‘membaca’ di kalangan ahli PPMS masih jauh ketinggalan berbanding rakyat di Malaysia sementelah negara-negara maju seperti Jepun. Islam meletakkan ilmu sebagai asas dalam pembangunan diri manusia dan alam seluruhnya. Tuntutan pertama dan utama terhadap manusia ialah saranan menuntut ilmu dan ini telah diperkukuhkan dengan turunnya wahyu pertama yang diterima oleh Rasulullah SAW dalam surah al-‘Alaq ayat 1-5:

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ (1) خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ (2) اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ (3) الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ (4) عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ (5)

Maksudnya : “(Wahai Muhammad bacalah) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian mahkluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku, bacalah dan Tuhanmu yang Maha pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”.

Intisari ayat ini merupakan asas penting untuk mengubah keadaan manusia daripada kegelapan kejahilan kepada cahaya keilmuan. Imam al-Qurtubi turut mengutarakan bahawa permulaan wahyu yang pertama ini adalah perintah Allah yang ditujukan kepada Nabi Muhammad SAW dan umat manusia seluruhnya bahawa membaca, menulis dan mencari ilmu pengetahuan adalah kewajipan yang wajib dilaksanakan.

Ia juga merupakan antara dasar utama yang menjadi misi kita pada kali ini bagi membangunhebatkan setiap individu dikalangan kita. Justeru, penulis yang ‘melihat’ Islam itu di dalamnya tersirat 1001 macam keindahan ajarannya menggesa seluruh anggotanya mencari dan mendapatkan ilmu sama ada secara formal atau tidak formal dengan menjadikan membaca sebagai salah satu cara merealisasikannya.

Membaca merupakan suatu proses untuk memperolehi ilmu dan maklumat dengan menggunakan deria dan minda. Deria dan minda yang dicerna dengan ilmu pengetahuan hasil pembacaan akan menjana kehidupan anggota yang inginkan perubahan, memurnikan fikrah dan pemikiran, meningkatkan kefahaman, memperkaya peribadi dan akhlak, mengasah minda menjadi lebih kritis dan kreatif. Sehubungan itu, penulis kali ini akan melancarkan kempen tahun membaca iaitu kempen 1 bulan 1 buku, 12 bulan 12 buku.

Semua ini bagi menggerakkan dan mengujakan ahli PPMS agar menjadikan ianya sebagai budaya dan terus sebati pada setiap masa dan keadaan yang mana akhirnya kita berjaya mencetuskan satu ‘gelombang membaca’ di bumi Syam ini, InsyaAllah.

Leave a comment