Suara Damsyik

Jangan Biarkan Sehari Berlalu Tanpa Perjuangan

Konvensyen Pakatan Rakyat : Satu Kebersamaan Yang Dinanti

Posted by jubahputih02 on January 8, 2010

         

          Sejarah tercipta sudah, kebijaksanaan pimpinan Pakatan Rakyat dilihat telah berjaya membawa dunia baru kepada rakyat yang selama ini sentiasa ternanti-nanti suntikan yang bakal mengembalikan keyakinan mereka terhadap Pakatan Rakyat. Meskipun telah berlalu hampir tiga minggu, Konvensyen Pakatan Rakyat yang buat julung kalinya diadakan oleh pembangkang di Malaysia ini masih hangat diperkatakan dan dibincangkan walaupun tidak kurang ada juga yang menganggap Konvensyen ini hanyalah sekadar satu gimik untuk menenggelamkan isu-isu yang menggugat Pakatan Rakyat selama ini.

          Bertemakan “Memimpin Perubahan, Menjana Kemenangan”, konvensyen yang dihadiri seramai 1500 perwakilan dari ketiga-tiga parti tersebut telah berjaya menghasilkan titik persefahaman dan perpaduan sekaligus memberikan konsensus yang amat bermakna kepada dasar yang akan digunakan Pakatan Rakyat bagi meraih kepercayaan rakyat dan menempah kemenangan dalam pilihan raya akan datang. Sekalipun konvensyen ini dilabelkan media sebagai sandiwara, kontroversi yang sengaja ditimbulkan ini merupakan bukti bahawa sebenarnya dasar yang telah disepakati bersama PAS,PKR dan DAP ini merupakan kegerunan dan mimpi ngeri UMNO dan BN dalam mengahadapi senario baru dalam dunia politik tanah air. Dalam erti kata lain, keberjayaan konvensyen ini mampu menjejaskan kedudukan mereka dalam tampuk kepimpinan kerajaan apatah lagi dengan krisis dalaman tika ini yang kucar-kacir akibat sifat tamak dan rakus yang bermaharajalela dalam diri pimpinan mereka.

          Sekalung tahniah diucapkan kepada pimpinan Pakatan Rakyat atas kebersamaan yang dijalinkan kerana apa yang jelas dan mungkin digusari pimpinan BN kini, konflik antara parti yang menimbulkan kontroversi  dalam pakatan sebelum ini langsung tidak diungkapkan dalam konvensyen tersebut malah mereka sudah mampu duduk berbincang semeja seolah-olah tiada konflik yang pernah berlaku antara mereka. Konvensyen ini telah menyaksikan perdamaian di antara ketiga-tiga komponen PR dan PAS terus menonjol apabila menjuarai aspirasi ‘Negara Islam’. Begitu juga DAP dengan gagasan ‘Malaysian Malaysia’ yang selama ini diperjuangkan. Apa yang menarik walaupun dengan gagasan yang berbeza tapi masih mampu bersatu lantaran matlamat dan dasar yang akan direalisasikan bersama seperti yang diulas oleh Presiden PAS sendiri yang berkata dasar yang disepakati ini merupakan satu peluang kepada PAS untuk membuktikan bahawa mereka juga mampu “berpakat”.
 
          Memetik ucapan penutup Presiden Pas, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang dalam konvensyen tersebut berkata : “Hari ini kita berbahas dengan sehangat-hangatnya, bagi mendatangkan natijah terbaik ke arah mengukuhkan parti, kita juga menjadikan majlis ini sebagai medan persaudaraan yang menemukan kita semua di atas semangat persaudaraan dalam satu bahtera negara tercinta, kalau selamat bahtera ini, maka selamatlah kita semua dan sampai ke destinasi yang dituju untuk pilihanraya ke-13”. Sekalipun PAS memegang prinsip berlandaskan Islam, PAS terus memilih pendekatan secara saluran demokrasi kerana di samping hukum yang telah sedia ada dalam Islam, Islam turut menerima sistem dan hukum daripada masyarakat berbagai bangsa, agama dan budaya.

Firman Allah taala :

يأيها الناس إنا خلقنكم من ذكر وأنثى وجعلنكم شعوبا وقبآئل لتعارفوا

Maksudnya : Wahai manusia! Sungguh kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling kenal-mengenali.

          Auditorium (MBSA) Shah Alam telah melakarkan detik bersejarah Pakatan Rakyat sebaik sahaja pemimpin parti-parti berkenaan menandatangani dokumen empat Dasar Pakatan Rakyat yang telah diluluskan sebulat suara dan akan menjadi landasan kepada mereka. Dasar ini juga merupakan peluang yang tidak sekadar untuk dilihat dan dibaca, bahkan ianya adalah dasar yang perlu difikirkan dan dinilai bersama oleh rakyat dalam menentukan pembaharuan yang bakal dilakukan oleh Pakatan Rakyat.

Empat dasar yang mengandungi perkara asas tersebut adalah :
1. Demokrasi telus dan tulen;
2. Memacu ekonomi berprestasi tinggi mampan dan adil;
3. Keadilan sosial dan pembangunan insan; dan
4. Hubungan persekutuan dan dasar luar negara.

          Dengan termeterainya perjanjian berlandaskan empat dasar ini, pakatan kini memerlukan mandat yang penuh dari seluruh rakyat Malaysia bagi sama-sama membantu melaksanakan dasar yang dipersetujui ini tanpa ragu. Meskipun masih terlintas persoalan, apakah tidak akan ada lagi masalah dan pertikaian yang timbul selepas ini, namun kita selaku rakyat yang bakal mengadili pemilihan tampuk kepimpinan negara akan datang harus menilai sedalamnya usaha yang telah dilakukan Pakatan Rakyat sehingga sanggup mengenepikan prinsip dan dasar peribadi parti demi memastikan kesejahteraan dan keadilan rakyat terjamin di masa akan datang dalam menggapai kemenangan.

          Tuntasnya, konvensyen ini membawa harapan yang amat besar kepada rakyat yang sekian lama dahagakan perubahan setelah kerajaan BN diterjemahkan sebagai ‘gagal’ dalam melaksanakan amanah yang diberikan rakyat selama lebih separuh abad. Semoga Allah memberkati usaha kita semua dalam menegakkan kebenaran di atas muka bumi ini.

Leave a comment